Program Professor@School Perkasa Pembelajaran STEM Murid SK Rampayan Menggatal

Program Professor@School Perkasa Pembelajaran STEM Murid SK Rampayan Menggatal

0
SHARE

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui U-Science dengan kerjasama Fakulti Sains dan Teknologi (FST) melaksanakan Program Professor@School bersama Sekolah Kebangsaan (SK) Rampayan Menggatal, baru-baru ini, bagi memperkasa pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan murid sekolah rendah.

Penyelaras program, Ts. Dr. Roslina Jawan, berkata program yang dilaksanakan dalam tiga siri itu bertujuan memberi pendedahan awal kepada murid mengenai dunia sains dan teknologi melalui aktiviti pembelajaran interaktif, demonstrasi eksperimen serta aktiviti praktikal (hands-on).

“Ia bagi memberi peluang kepada murid merasai pengalaman pembelajaran STEM yang lebih autentik dan menyeronokkan. Kami mahu mereka melihat bahawa sains bukan sekadar teori, tetapi sesuatu yang dekat dengan kehidupan harian,” katanya dalam satu kenyataan.

Roslina menjelaskan bahawa siri pertama dan kedua dilaksanakan di SK Rampayan, manakala siri ketiga diadakan di Fakulti Sains dan Teknologi, UMS.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, yang merasmikan program berkenaan, berkata pendedahan awal terhadap STEM amat penting dalam membentuk pemikiran dan jati diri generasi muda.

“UMS komited memperkukuh hubungan universiti dan komuniti, khususnya melalui program pendidikan STEM yang membuka horizon baharu kepada murid. Penganjuran tiga siri Professor@School ini membuktikan komitmen UMS dalam memperkasa pendidikan STEM di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berharap program itu mampu meningkatkan minat murid terhadap sains dan teknologi, memupuk rasa ingin tahu serta membuka peluang lebih luas untuk mereka meneroka bidang sains, teknologi dan inovasi pada masa hadapan.

Antara pengisian program termasuk pengenalan kepada bidang Bioteknologi, literasi Matematik, lukisan mural bertemakan STEM serta ceramah motivasi.