Ewon Tekad Jayakan Agenda ‘Sabah First’ Melalui Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan

Ewon Tekad Jayakan Agenda ‘Sabah First’ Melalui Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah III yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick menegaskan agenda “Sabah First” akan menjadi teras utama kepimpinan beliau dalam memacu sektor industri, keusahawanan dan pengangkutan negeri.

Beliau berkata demikian susulan Mesyuarat Pertama Kabinet Kerajaan Sabah dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan Sabah, pada Rabu.

Menurutnya, perjuangan politik UPKO kekal tegas memperjuangkan hak Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan, termasuk isu pembayaran balik 40 peratus hasil bersih Sabah yang menjadi asas tuntutan negeri.

“Melalui kementerian ini, wawasan Sabah First memberi fokus membangunkan lebih ramai rakyat Sabah yang berpendapatan sama ada sebagai usahawan atau pekerja dalam ekosistem keusahawanan tempatan,” katanya.

Beliau menegaskan tiga agenda utama akan diberi keutamaan iaitu pembangunan ekosistem pelaburan dan keusahawanan mesra PMKS sebagai tunjang ekonomi negeri; peningkatan kualiti produk dan perkhidmatan keluaran tempatan untuk menembusi pasaran lebih luas; serta peningkatan kecekapan penyampaian perkhidmatan kementerian dan agensi di bawahnya.

“Kita perlu bersikap memudah cara, bukan menyusahkan. Semangat Sabah First bermula dengan tadbir urus yang cekap dan berpihak kepada pemegang taruh,” tegasnya.

Ewon turut memaklumkan akan memulakan siri lawatan kerja ke agensi-agensi kementerian bermula esok bagi menyelaras pelaksanaan dasar serta perkongsian hala tuju kepimpinannya.

Beliau juga berjanji turun bertemu komuniti PMKS dan pemegang taruh sekurang-kurangnya sekali seminggu, selain melaksanakan mandatnya sebagai ADUN Kadamaian dan Ahli Parlimen Penampang pada satu hari khusus setiap minggu.

Mengulas pembentukan Kerajaan Perpaduan Sabah, beliau menghormati keputusan Ketua Menteri dalam memastikan kestabilan pentadbiran negeri, namun menegaskan pendirian perjuangan Sabah First akan diteruskan oleh UPKO dalam kerajaan.