LABUAN: Seramai 36 penumpang termasuk dua kanak-kanak bawah usia dua tahun berdepan saat mencemaskan apabila bot laju yang mereka naiki dari Menumbok, Sabah ke Labuan terbakar dalam insiden petang tadi.
Bot berkenaan yang dijadual berlepas pada jam 2.45 petang dilaporkan tiba-tiba terbakar ketika dalam perjalanan sebelum semua penumpang bertindak menyelamatkan diri.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.08 petang dan mengesahkan kejadian sebaik tiba di lokasi.
Semua penumpang berjaya keluar dari bot dan mendarat di pesisir pantai Tanjung Mawilla, Labuan tanpa sebarang kecederaan serius.
Bot berkenaan bagaimanapun hangus sepenuhnya dan usaha pemadaman dilaksanakan anggota bomba di lokasi.
Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa.






