KOTA KINABALU, SABAH – PAS Sabah akan berbincang dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor selaku pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), berkenaan kedudukan parti tersebut dalam gabungan yang baru didaftarkan minggu lalu itu.
Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata, walau bagaimanapun, keududukan PAS kekal bersama Perikatan Nasional dan tidak terpisah daripada komponen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang mana Hajiji juga merupakan pengerusi bagi Sabah.
“Belum ada perbincangan terperinci mengenai (keahlian) PAS dalam GRS tapi PAS secara prinsipnya memberikan lampu hijau kepada GRS dengan tidak bertanding semasa Pilihan Raya Negeri 2020 lalu dalam tanda sokongon kepadanya.
“Kami akan bersemuka dengan Hajiji untuk memperincikan kandungan GRS dan juga kedudukan PAS dalam tempoh yang terdekat,” katanya…

Apabila ditanya kemungkinan PAS akan memohon untuk menyertai GRS, beliau berkata akan menilai terlebih dahulu jika persahabatan dengan BERSATU hanyalah pada peringkat pusat.
“Gerakan PAS bukan bertapak pada pilihan raya semata-mata. Hampir 100 buah sekolah tadika, berbelas sekolah rendah selain sekolah menengah jenis Islam juga sudah dibangunkan tanpa prejudis atau berunsur politik terhadap mana-mana pihak.
“Kemenangan itu satu anugerah tetapi kalau kalah, kerja kebajikan, dakwah dan pendidikan PAS akan terus berjalan di Negeri Sabah. Pilihan raya itu cuma sebahagian kecil daripada misi PAS.
“Parti lain cuma mengira jumlah kerusi yang menang untuk masuk ke Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi bagi kita, kalah menang itu perkara kecil.
“Tujuan utama PAS adalah pembangunkan sumber manusia dengan pendidikan,” tambahnya.
Berkenaan Penggal ke-3 Sidang DUN esok, Aliakbar berkata untuk mengusulkan isu susunan atur rumah setinggan yang mana kebakaran dilihat sebagai “bersiri” selain isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang berkait rapat dengan hal itu.
Beliau ditemui pagi tadi di Surau Austral di sini, dalam ‘Program Tukar Minyak Enjin’ anjuran Alternative Racing Club (ARC) Sabah yang menyasarkan gantian minyak hitam 80 penunggang Grab secara percuma.
“Semoga ini dapat mengekalkan momentum pekerjaan mereka yang masih terjejas akibat pandemik,” kata Aliakbar.





