TAMBUNAN: Pembangunan sesebuah negara tidak boleh hanya diukur melalui pembinaan infrastruktur semata-mata, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan usaha melahirkan generasi yang berilmu, berkemahiran dan berakhlak, kata Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera Sdn Bhd, Datuk Victor Peter Paut.
Beliau berkata, pelaburan dalam pendidikan merupakan asas paling penting bagi membentuk modal insan berkualiti yang mampu memacu kemajuan negara pada masa depan.
“Jalan raya boleh dibina, jambatan boleh didirikan dan bangunan tinggi boleh dibangunkan, namun jika kita gagal membina manusia yang berilmu, berkemahiran dan berakhlak, segala pembangunan fizikal itu tidak akan memberi makna yang sebenar.
“Sebab itulah saya sentiasa percaya bahawa pendidikan merupakan pelaburan terbaik yang boleh kita lakukan. Kemudahan seperti iBoard dan Chromebook bukan sekadar peralatan moden, tetapi pelaburan jangka panjang untuk melahirkan generasi yang lebih berilmu, berkemahiran dan mampu bersaing di peringkat nasional serta antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Program Pemerkasaan Pendidikan Digital Peringkat Daerah Tambunan 2026 di Sekolah Kebangsaan Kuala Namadan, pada Rabu.
Victor yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tambunan berkata, kerajaan komited memastikan pembangunan pendidikan dan transformasi digital turut dinikmati oleh sekolah-sekolah kecil serta kawasan pedalaman, bukannya hanya tertumpu di kawasan berpenduduk padat.
“Saya mahu sekolah-sekolah seperti SK Kuala Namadan turut menerima peluang yang sama kerana saya percaya pendidikan mesti sampai kepada semua tanpa mengira sama ada anak itu tinggal di bandar atau kampung di kawasan pedalaman. Mereka tetap mempunyai hak yang sama untuk menerima pendidikan berkualiti,” katanya.
Beliau berkata, pendedahan teknologi kepada murid di kawasan luar bandar bukan sahaja meningkatkan kemahiran digital, malah mampu melahirkan generasi yang menjadi ejen perubahan dalam keluarga dan masyarakat.
Menurutnya, anak-anak yang celik teknologi berupaya membantu keluarga memahami dunia digital serta lebih bersedia menghadapi cabaran era moden, termasuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian, berita palsu dan jenayah siber.
Pada masa sama, Victor mengingatkan pelajar di kawasan pedalaman supaya tidak pernah berasa rendah diri kerana ramai individu berjaya di negara ini berasal dari kampung dan luar bandar.
“Jangan sekali-kali berasa rendah diri hanya kerana belajar di kawasan pedalaman. Ramai yang berjaya dalam kerjaya masing-masing sebenarnya berasal dari kampung dan kawasan pedalaman,” katanya.






