TENOM: Kerajaan Sabah mempergiat usaha memperkukuh sektor pertanian dan melindungi kawasan berisiko hakisan di Melalap menerusi beberapa projek berkaitan pengairan sawah padi serta penstabilan tebing Sungai Pegalan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, projek penstabilan tebing sungai berhampiran Pusat Kebudayaan Murut kini mendapat perhatian selepas Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meluluskan peruntukan bagi mengatasi masalah hakisan yang semakin serius di kawasan itu.
Menurut beliau, keadaan hakisan yang semakin menghampiri kawasan pusat kebudayaan berisiko menjejaskan tanah serta kemudahan pelancongan berhampiran sekiranya tidak ditangani segera.
“Pada tahun ini, pihak JPS telah meluluskan peruntukan untuk projek penstabilan tebing sungai di kawasan Pusat Kebudayaan Murut.
“Kita akan memasang struktur penahan tebing menggunakan batu besar bagi mengelakkan hakisan terus berlaku dan memastikan kawasan ini selamat,” katanya ketika lawatan kerja di Melalap, hari ini.
Jamawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, projek itu dijangka dilaksanakan tahun ini dan bakal memberi manfaat kepada penduduk serta pemilik tanah berhampiran.
Beliau memulakan lawatan kerja pada jam 8.30 pagi dengan meninjau tebing jalan runtuh berhampiran Pusat Kebudayaan Murut sebelum meneruskan lawatan ke Kampung Makakumpai dan Entabuan bagi melihat sistem pengairan sawah padi di kawasan seluas kira-kira 160 hektar.
Katanya, seramai 62 petani di kawasan terbabit tidak dapat mengusahakan sawah mereka sejak hampir 10 tahun lalu akibat masalah pam dan bekalan air yang tidak berfungsi dengan baik.
“Saya turun padang bersama pegawai JPS untuk melihat sendiri masalah yang dihadapi petani.
“Pihak JPS memberi jaminan bahawa kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf sistem pengairan akan diselesaikan dalam tempoh kira-kira tiga bulan,” katanya.
Beliau berkata, usaha menaik taraf sistem pengairan itu penting bagi membolehkan petani kembali mengusahakan sawah sekali gus meningkatkan pengeluaran padi di kawasan berkenaan.
Jamawi turut meninjau sistem bekalan air untuk sawah padi di Lagud Sebrang bersama pegawai JPS dan Jabatan Pertanian Tenom bagi menilai keperluan kerja naik taraf sistem pengairan di kawasan terbabit.
Katanya, kerajaan mahu memastikan petani di kawasan Lagud Sebrang, Paguokon, Manining dan Pansailon dapat terus mengusahakan tanaman padi dengan lebih baik melalui sistem pengairan yang lebih cekap dan terjamin.
“Kerajaan akan terus membantu melalui pelbagai program bersama Jabatan Pertanian dan JPS demi meningkatkan pengeluaran hasil padi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, projek menaik taraf sistem pengairan itu juga selaras dengan objektif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam memperkukuh sosioekonomi rakyat serta meningkatkan tahap keselamatan makanan negeri.






