KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh peranan sebagai pusat kecemerlangan ilmu, inovasi dan pemikiran strategik menerusi penganjuran program perkongsian ilmu Brain of Borneo Global Thought Leaders’ Series UMS 2026.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, program anjuran Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dengan kerjasama Bahagian Kepimpinan dan Pembangunan Bakat (BkePT) itu merupakan platform wacana intelektual bagi perbincangan isu-isu strategik yang mampu memberi impak kepada negara dan rantau secara keseluruhan.
“UMS menekankan peranan sebagai pusat rujukan ilmu, penyelidikan dan pemikiran yang strategik sebagai satu komitmen dalam menyumbang kepada pembangunan mampan wilayah ini melalui pendekatan holistik yang melibatkan masyarakat, industri dan pembuat dasar.
“Program ini khususnya menghimpunkan warga akademik dan penyelidik, pembuat dasar, pegawai kerajaan, pemimpin industri dan sektor korporat serta pelajar universiti untuk berkongsi pandangan berkaitan pembangunan wilayah, kelestarian alam sekitar, geopolitik serantau dan kesejahteraan masyarakat.
“Menerusi syarahan perdana setiap golongan yang terlibat akan memperoleh perspektif strategik, idea inovatif dan pandangan global yang dapat memperkaya pemikiran serta menyokong pembangunan ilmu dan penyelesaian kepada cabaran masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian program tersebut di Dewan Bankuasi, UMS.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly.
Tambah Kasim, penganjuran program itu selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi yang mahu menggalakkan institusi pengajian tinggi untuk terus memperkukuh ekosistem ilmu, inovasi serta kepimpinan pemikiran dalam mendepani cabaran global dan menyumbang kepada signifikan kepada pembangunan negara.
“Justeru itu, saya menyeru semua pihak agar memanfaatkan peluang menerusi platform ini sebaik mungkin untuk berkongsi pandangan, mencabar idea dan membina penyelesaian inovatif yang memberi impak kepada masyarakat dan negara,” ujar beliau.
Menerusi program itu, Pengerusi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Emeritus Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang telah menyampaikan syarahan bertajuk ‘Climate Action For Water Sustainability’.
Turut berlangsung pelantikan Dato’ Seri Zaini sebagai Profesor Adjung UMS serta pelancaran buku “Climate Action for Water Sustainability Using Eco-Shift Model” hasil penulisan beliau yang diterbitkan khas sempena program Brain of Borneo Global Thought Leaders’ Series UMS 2026.
Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Datuk Dr. Rossita Shapawi dan Dekan FST, Prof. Ts. Dr. Rodeano Roslee.






