KOTA KINABALU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kota Kinabalu mengisytiharkan daerah ini sebagai kawasan bencana banjir berkuat kuasa jam 8 malam, 1 Oktober 2026, susulan laporan dan maklumat semasa yang diterima daripada agensi berkaitan.
Pengisytiharan itu dibuat oleh Mayor Kota Kinabalu merangkap Pengerusi JPBD Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah, berdasarkan situasi di lapangan.
“Berdasarkan laporan dan maklumat di lapangan yang diterima daripada agensi-agensi dalam JPBD, maka adalah diisytiharkan bahawa telah berlaku bencana banjir di daerah Kota Kinabalu,” katanya.
Susulan pengisytiharan berkenaan, Pusat Kawalan Operasi Bencana Kota Kinabalu turut diaktifkan di Bilik Mesyuarat, Tingkat 1, Bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Sabin berkata, pengaktifan pusat kawalan itu penting bagi menyelaras pengurusan serta tindakan agensi berkaitan dalam menghadapi situasi banjir yang berlaku.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan bencana di sekitar Kota Kinabalu boleh menghubungi talian hotline pusat berkenaan di 088-210 011 atau 088-239 681.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa laluan di Kota Kinabalu dilaporkan tidak boleh dilalui akibat banjir kilat, termasuk Jalan Tongkuzu, Jalan Ulu Kionsom 1, Jalan Undan, Jalan Likas Industries, Jalan Rampayan dan Jalan Gudon.
Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya berhati-hati dan mengelak menggunakan laluan terjejas.
Pengisytiharan bencana berkenaan turut disiarkan menerusi saluran rasmi DBKK pada 1 Oktober.






