KUDAT, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat berjaya menahan dua buah Bot Nelayan Asing Vietnam (BNAV) sedang leka mengaut hasil laut di berhampiran Pulau Sibongor Laut semalam.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, kedua-dua bot terbabit berjaya dikesan aset ronda Zon Maritim Kudat ketika menjalankan rondaan Op Khas Pagar Laut
“Semasa diperiksa, didapati seramai 12 orang individu warganegara Vietnam berumur lingkungan 23 hingga 53 tahun mengendalikan kedua-dua bot berkenaan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Pemeriksaan lanjut ke atas dua bot terbabit juga telah menemui lebih kurang 20kg Balat basah, peralatan menangkap Balat yang diperbuat daripada besi serta lebih kurang 600 liter minyak diesel.
“Keseluruhan nilai rampasan termasuk bot dianggarkan lebih kurang RM3.5 juta,” katanya.
Maurice berkata kesemua suspek bersama bot dan barang rampasan seterusnya ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1956/63.