KOTA MARUDU: Pertubuhan Pembangunan Ekonomi Kota Marudu (PERKOM) komited memperkukuh ekonomi daerah dengan menumpukan peningkatan taraf hidup rakyat selaras aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Pengerusinya, Dato’ Dr. Janathan Kandok, berkata keutamaan adalah memastikan rakyat memahami matlamat SMJ agar lebih bersedia menyertai inisiatif kerajaan.
“Adalah menjadi keutamaan kita untuk memastikan rakyat memahami sepenuhnya matlamat SMJ. Apabila rakyat faham, mereka akan lebih bersedia untuk melibatkan diri secara aktif,” katanya.
Beliau turut menggesa semua pihak bekerjasama sebagai satu pasukan serta memastikan maklumat bantuan dan peluang sampai ke seluruh kawasan.
Dalam memperkasa pelancongan dan industri desa, PERKOM menekankan potensi besar budaya etnik sebagai aset ekonomi melalui kraf, seni dan tradisi yang boleh dikomersialkan secara kreatif.
“Kebudayaan kita bukan sekadar warisan, tetapi aset ekonomi bernilai tinggi yang mampu meningkatkan taraf hidup rakyat,” jelasnya.
Katanya, PERKOM juga akan menyokong latihan kemahiran, pemasaran digital dan pengukuhan rantaian nilai produk tempatan, selain menggalakkan belia serta usahawan menceburi ekonomi kreatif bagi menjadikan budaya etnik Kota Marudu sebagai jenama ekonomi Sabah.






