PENAMPANG: Deretan rumah setinggan berhampiran Taman Keluarga di sini dirobohkan dalam satu operasi penguatkuasaan bersepadu, baru-baru ini.
Operasi yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan dilaksana bagi memastikan kawasan berkenaan dikosongkan secara teratur, selamat dan mengikut peruntukan undang-undang.
Operasi bersepadu pengosongan dan perobohan itu turut disertai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang yang bertanggungjawab melaksanakan kawalan keselamatan sepanjang operasi berlangsung bagi menjamin ketenteraman awam serta kelancaran pelaksanaan tindakan penguatkuasaan.
Antara agensi yang terlibat ialah Majlis Perbandaran Penampang (MPP), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SE), Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) serta pihak pemaju.
Menurut IPD Penampang, kehadiran anggota polis di lokasi operasi adalah bagi memastikan situasi terkawal dan mengelakkan sebarang kejadian yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
Sepanjang operasi dijalankan, tiada sebarang insiden tidak diingini dilaporkan dan proses pengosongan serta perobohan rumah setinggan berjaya dilaksanakan dengan lancar.
IPD Penampang turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat atas kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan operasi bersepadu tersebut.
Polis menegaskan bahawa kerjasama antara agensi penguat kuasa, pihak berkepentingan dan masyarakat amat penting bagi memastikan setiap operasi dapat dilaksanakan secara berkesan demi menjaga keselamatan, kesejahteraan dan keharmonian komuniti setempat.






