KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan seorang wanita berusia 20 tahun yang dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat di kawasan Sinsuran, Kota Kinabalu, dan kini memohon bantuan orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat bagi membantu usaha pencarian.
Wanita berkenaan dikenali sebagai Ayu Majid, berbangsa Bajau, yang dilaporkan hilang dan keberadaannya masih belum dapat dikesan sehingga kini.
Ketua Polis Balai Kota Kinabalu, ASP Muhammad Abu Zar Jali @ Ramli berkata, pihak polis sedang menjalankan siasatan dan usaha mengesan wanita terbabit selepas menerima laporan mengenai kehilangannya.
Menurut beliau, Ayu mempunyai ciri-ciri fizikal berbadan sedikit berisi, berketinggian kira-kira 150 sentimeter, berat badan sekitar 58 kilogram, berambut panjang serta mempunyai anak mata berwarna hitam.
“Ketika kali terakhir dilihat, penama dilaporkan memakai baju hitam berlengan pendek dan seluar panjang berwarna hitam.
“Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai keberadaan penama supaya tampil membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Muhammad Abu Zar Jali @ Ramli di talian 019-3546375 atau Hotline Balai Polis Kota Kinabalu di talian 014-3094800.
“Sebarang maklumat yang diberikan akan membantu mempercepatkan usaha mengesan penama. Kerjasama masyarakat amat dihargai dalam membantu pihak polis menyelesaikan kes orang hilang ini,” katanya.
Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat kepada mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu usaha mengesan wanita tersebut.
PDRM turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai atas kerjasama yang diberikan dalam membantu usaha pencarian dan siasatan yang sedang dijalankan.






