KOTA KINABALU: Loji solar berskala besar Kolombong yang siap 40 hari lebih awal daripada jadual kini mula beroperasi secara komersial dengan keupayaan menjana tenaga elektrik bersamaan keperluan lebih 9,000 rumah di negeri ini.
Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) memaklumkan, loji berkapasiti 15 megawatt (MWac) itu memulakan operasi komersial pada 17 Oktober lalu, berbanding tarikh asal yang dijadualkan pada 26 November 2026.
Loji yang dibangunkan dan dimiliki TG Solar Sdn Bhd di bawah Kumpulan Teck Guan itu merupakan projek solar berskala besar pertama yang melengkapkan keseluruhan proses perancangan, pelaksanaan dan penyiapan di bawah kawal selia ECoS menerusi program LSS-Sabah 2024.
Dengan kapasiti solar terpasang sebanyak 22.5 MWp dan kapasiti penyaluran 15 MWac, loji berkenaan dijangka membekalkan kira-kira 33.4 gigawatt-jam (GWh) elektrik setahun kepada grid Sabah, bersamaan keperluan penggunaan elektrik lebih 9,000 rumah.
Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, kejayaan menyiapkan projek lebih awal mencerminkan komitmen dan kerjasama semua pihak dalam mempercepat pembangunan tenaga boleh baharu di Sabah.
“Permulaan operasi komersial loji solar Kolombong merupakan langkah penting ke arah meningkatkan sumbangan tenaga boleh baharu kepada bekalan elektrik Sabah.
“Pencapaian 40 hari lebih awal daripada jadual ini mencerminkan komitmen dan penyelarasan antara pemaju, kontraktor, jabatan kerajaan, pihak utiliti serta semua pasukan yang terlibat,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, projek berkenaan dianugerahkan menerusi proses bidaan kompetitif Solar Berskala Besar (LSS) pada 2024, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan itu serta keupayaan pemaju tempatan melaksanakan projek tenaga berskala besar.
Loji yang dibina di kawasan seluas kira-kira 36.1 ekar di Jalan Cenderakasih, Kolombong itu dilengkapi 30,000 modul solar dwimuka yang dipasang di atas tanah dan bumbung.
Tenaga elektrik yang dijana disalurkan kepada Sabah Electricity menerusi Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) selama 25 tahun menggunakan sambungan grid 33 kilovolt (kV) di Pencawang Masuk Utama Kolombong.
Projek itu dilaksanakan GV Borneo Sdn Bhd selaku kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), dengan sokongan perunding serta tenaga kerja tempatan.
Loji berkenaan mula menyalurkan tenaga solar ke grid pada 8 September lalu sebelum memulakan operasi komersial pada 17 Oktober.
Abdul Nasser berkata, ECoS akan terus menyokong pembangunan tenaga boleh baharu secara bertanggungjawab bagi memastikan bekalan elektrik yang boleh dipercayai, mampu milik dan mampan selaras dengan Pelan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040).
Katanya, projek itu turut menyumbang kepada usaha mempelbagaikan sumber penjanaan elektrik negeri, memperkukuh jaminan bekalan tenaga serta meningkatkan penjanaan tenaga boleh baharu di Kota Kinabalu.






