for Revenge Bakal Gegarkan Kuala Lumpur Sempena Ulang Tahun Ke-20

for Revenge Bakal Gegarkan Kuala Lumpur Sempena Ulang Tahun Ke-20

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kumpulan rock alternatif terkenal Indonesia, for Revenge bakal menggegarkan pentas Zepp Kuala Lumpur menerusi konsert tunggal ‘Titik Sadrah’ pada 15 November ini, sempena meraikan ulang tahun ke-20 penubuhan mereka.

Konsert berkenaan turut menampilkan barisan artis undangan popular termasuk Cynantia Pratita, Dul Jaelani, Fiersa Besari, Rony Parulian, Sekumpulan Orang Gila dan Tepe bagi memeriahkan persembahan yang dijangka sarat dengan emosi dan nostalgia.

Dianjurkan Neptunes Presents dengan kerjasama Antara Suara dan Sony Music, konsert itu merupakan sebahagian daripada siri jelajah antarabangsa kumpulan berkenaan yang bermula dari Bandung, Indonesia.

Jurucakap Neptunes Presents, Muhamad Hadi Johari berkata, penganjuran konsert itu bukan sekadar meraikan dua dekad perjalanan seni for Revenge, malah menjadi platform mempertemukan kumpulan berkenaan dengan peminat di Malaysia.

“Daripada Fireworks dan Second Chance, hinggalah Perayaan Patah Hati Babak 1 dan Babak 2, setiap karya membawa kisah tersendiri dan mencerminkan perkembangan muzik kumpulan terbabit.

“Kini, perjalanan muzik mereka diteruskan di Kuala Lumpur untuk bertemu secara langsung dengan peminat di Malaysia yang selama ini mengikuti karya mereka merentasi sempadan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, konsep ‘Titik Sadrah’ mengetengahkan perjalanan emosi menerusi muzik, khususnya pengalaman cinta, perpisahan, penerimaan dan proses melepaskan kenangan silam.

“Ada lagu yang hadir ketika seseorang jatuh cinta, ada yang menjadi teman ketika melalui perpisahan, manakala sebahagiannya pula menemani proses untuk menerima dan melepaskan sesuatu yang sudah berlalu.

“Pentas Titik Sadrah di Kuala Lumpur memberi peluang kepada semua cerita itu untuk bertemu dalam satu ruang,” katanya.

Tambahnya, peminat turut berpeluang berkongsi kisah peribadi dan foto berkaitan lagu for Revenge yang paling dekat dengan kehidupan mereka untuk dijadikan sebahagian daripada pengalaman konsert berkenaan.

Ditubuhkan pada 2006 di Bandung, for Revenge dianggotai Boniex Noer selaku vokalis, Arief Ismail (gitar), Izha Muhammad (bass) dan Archims Pribadi (dram).

Kumpulan itu terus mengukuhkan kedudukan dalam industri muzik Indonesia menerusi album Perayaan Patah Hati – Babak 1 yang diterbitkan pada 2022, sekali gus memperluas pengaruh muzik mereka dalam kalangan peminat serantau.

Konsert ‘Titik Sadrah’ dijangka menjadi antara acara istimewa buat peminat Malaysia untuk menyaksikan persembahan secara langsung serta menghayati lagu-lagu popular kumpulan berkenaan.