Belanjawan 2026: Belanjawan Progresif Untuk Negara – Ketua Menteri

Belanjawan 2026: Belanjawan Progresif Untuk Negara – Ketua Menteri

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan Belanjawan 2026 sebagai belanjawan progresif dan berhemah, yang tetap menitikberatkan kebajikan rakyat termasuk golongan kurang berkemampuan.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri atas pembentangan Belanjawan negara yang progresif.

“Belanjawan ini memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi negara dan telah memperuntukkan RM6.9 bilion untuk Sabah, yang diyakini akan memberi manfaat besar kepada negeri ini,” katanya selepas menyaksikan siaran langsung pembentangan Belanjawan 2026 oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan.

Menurut Hajiji, peruntukan RM6.9 bilion yang diumumkan merupakan yang tertinggi dalam sejarah, mencerminkan keyakinan Kerajaan Persekutuan terhadap kepimpinan negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Belanjawan ini bukan sekadar angka, tetapi hasil kestabilan politik Sabah di bawah GRS. Sabah kini benar-benar diarusperdanakan dalam pembangunan Malaysia,” tegasnya.

Antara inisiatif penting untuk Sabah termasuk peruntukan RM765 juta bagi pembinaan talian elektrik Southern Link, RM220 juta bagi pembaikan infrastruktur akibat bencana, serta RM39 juta untuk Fasa 2 projek tebatan banjir.

Hajiji turut merakamkan penghargaan atas komitmen Kerajaan Persekutuan menyalurkan RM1.67 bilion untuk meneruskan projek Pan Borneo Sabah dan menunaikan komitmen Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan meningkatkan geran khas interim kepada RM600 juta, berbanding RM300 juta sebelum ini.

Turut hadir semasa sesi siaran langsung itu ialah Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong, serta pembantu menteri dan pegawai kanan kerajaan negeri.