KOTA KINABALU: Suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAB KKIA) petang tadi kecoh seketika apabila satu objek menyerupai bom tangan ditemui berhampiran pintu masuk balai pelepasan domestik dan antarabangsa.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan objek itu sekitar jam 1.40 petang sebelum sepasukan anggota keselamatan dikerahkan ke lokasi.
“Hasil pemeriksaan mendapati objek berwarna hitam itu diletakkan di atas tiang penghadang berhampiran pintu masuk.
“Pemeriksaan lanjut oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) mengesahkan ia bukan bahan letupan, sebaliknya alat permainan kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang kanak-kanak berpakaian seragam sekolah bersama seorang wanita telah meletakkan objek tersebut sebelum beredar dari kawasan berkenaan.
Polis menasihatkan orang ramai agar tidak meninggalkan sebarang objek mencurigakan di tempat awam yang boleh menimbulkan kebimbangan, serta mengelak daripada membuat spekulasi mengenai kejadian itu.
Kasim turut merakamkan penghargaan kepada orang awam dan pihak pengurusan lapangan terbang atas keprihatinan serta kerjasama memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara.






