JEJANTAS SKYBRIDGE KOTA KINABALU MULA DIBUKA KEPADA ORANG AWAM – DBKK

JEJANTAS SKYBRIDGE KOTA KINABALU MULA DIBUKA KEPADA ORANG AWAM – DBKK

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Jejantas ‘The Skybridge Kota Kinabalu’ telah dibuka kepada orang awam bermula kelmarin (9 Sept) bermula seawal  jam 7:00 pagi.

Jejantas Skybridge sepanjang 400 meter itu  adalah sebahagian daripada Projek Skybridge Pedestrian Linkages and Traffic Improvement Works bernilai RM 31.5 juta yang merangkumi komponen – komponen seperti berikut:

1. Jejantas Skybridge yang dilengkapi dengan 20 kiosk niaga berhawa dingin, tangga bergerak (escalator) dan lif untuk golongan kelainan upaya (OKU);
2. Pembaikan Jalanraya
3. Lintasan Pejalan Kaki
4. Menaiktaraf bulatan menjadi persimpangan dengan lampu isyarat
5. Laluan Pejalan Kaki Berbumbung
6. Lampu Jalan
7. Peningkatan landskap dan hiasan jalan

Menurut Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Puan Noorliza Awang Alip, syarikat Pemaju (Developer) telah membiayai projek di atas melalui peruntukan Dana Mudahcara daripada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).

“Walaubagaimanapun, pada tahun 2018 syarikat pemaju telah digulungkan dan akibat daripada penggulungan tersebut Dana Mudahcara telah dibatalkan oleh UKAS. Apabila Dana Mudahcara telah dibatalkan, projek tersebut terbengkalai…

“Demi kepentingan awam, DBKK telah mengambil inisiatif untuk memohon peruntukan daripada Kerajaan Negeri Sabah bagi menyiapkan projek ini. Atas keprihatinan kepada rakyat, Kerajaan Negeri Sabah bersetuju membiayai projek tersebut atas dasar perkongsian antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan iaitu 50%-50%,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Datuk Bandar (Mayor) Kota Kinabalu, Puan Noorliza Awang Alip…

Jumlah peruntukan yang diluluskan untuk menyiapkan infrastruktur dan kerja-kerja yang belum disiapkan adalah
sebanyak RM4.7 juta.

Jejantas Skybridge yang terletak di Pusat Bandar Kota Kinabalu itu menghubungkan bangunan Pusat Komersial Api-Api, Pusat Membeli Belah Centre Point, Pusat Komersial Warisan Square dan Oceanus Waterfront melalui laluan Pintu masuk Oceanus, Pintu masuk Warisan, Pintu masuk Marina, Pintu masuk Api-Api 1, Pintu masuk Api-Api 2 dan Pintu masuk Asia City.

Sementara itu, pintu masuk ke-7 iaitu pintu masuk Centre Point Sabah (CPS) belum lagi dibuka kerana pihak CPS sendiri semasa fasa pembinaan telah menyatakan hasrat untuk membina
sendiri tangga dan laluan masuk dalam tempoh enam bulan selepas pembangunan Jejantas Skybridge siap keseluruhannya.

“Dalam akujanji yang dikeluarkan oleh pihak CPS juga menyatakan mereka akan menanggung sendiri kos pembinaan berkaitan,” jelas Noorliza.

Secara keseluruhannya Jejantas SkyBridge dilengkapi dengan kemudahan jejantas berbumbung, tangga bergerak (escalator), dua lif untuk golongan kelainan upaya (OKU), 20 kiosk perniagaan berhawa dingin dan kamera litar tertutup (CCTV) bagi tujuan keselamatan.

“Pihak DBKK berharap Jejantas SkyBridge ini bukan saja dapat membantu meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna tetapi juga membantu menyediakan kemudahan perniagaan untuk mereka yang berminat…

“Borang tawaran untuk menyewa lot-lot berkaitan akan diedarkan dalam masa terdekat. Pihak DBKK juga mengharapkan agar para pengguna sentiasa menjaga kebersihan serta tidak menyalahgunakan kemudahan yang disediakan,” tambahnya lagi.