SEMPORNA: Sebuah restoran di Hotel Pacific Semporna musnah sepenuhnya dalam kebakaran, manakala seorang lelaki yang merupakan pekerja hotel berkenaan dilaporkan mengalami kecederaan melecur di tangan dalam kejadian di sini, pada Sabtu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, PPgB Zainal Sinsian berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.47 tengah hari sebelum pasukan digerakkan ke lokasi.
Katanya, jentera pertama tiba lima minit kemudian di lokasi yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari balai.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, kebakaran didapati membabitkan restoran Hotel Pacific Semporna, sebuah struktur separuh kekal berkeluasan 30 kali 40 kaki yang terbakar 100 peratus.
“Bangunan Wave View Hotel yang berhampiran turut terkesan akibat bahangan kebakaran dengan kerosakan kira-kira 20 peratus,” katanya.
Zainal berkata, operasi pemadaman dilakukan dari dua arah membabitkan pasukan melalui darat dan laut.
“Pasukan di darat melakukan pemadaman menggunakan tiga aliran dan enam pancutan dengan sumber air daripada jentera serta pili bomba.
“Pasukan BBP Air Semporna pula melakukan pemadaman dari arah laut menggunakan satu aliran dan satu pancutan dengan sumber air terbuka dari laut,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan maklumat pekerja hotel, seorang lelaki mengalami kecederaan melecur di tangan dan telah dibawa ke Hospital Semporna oleh pihak hotel untuk mendapatkan rawatan sebelum pasukan bomba tiba.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.47 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.11 petang selepas pemeriksaan mendapati tiada lagi bahaya di lokasi.
Operasi diketuai PBK I Asmaraie Noordanig dengan PPgB Zainal Sinsian selaku Komander Operasi Kanan, membabitkan keseluruhan 29 anggota dari BBP Semporna dan BBP Air Semporna.
Turut berada di lokasi ialah 10 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua petugas Sabah Electricity.






