KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, semalam menangguhkan prosiding perbicaraan bela diri Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad berhubung tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.
Menurut laporan Berita Harian, Hakim Rosli Ahmad membenarkan permohonan peguam Teh See Khoon yang mewakili Zizie selepas peguam utama pasangan itu, Datuk Seri K. Kumaraendran, dilaporkan tidak sihat kerana terdapat cecair dalam paru-paru serta masih menjalani rawatan.
Sehubungan itu, tarikh perbicaraan yang sepatutnya bermula hari ini serta bersambung pada 19 dan 20 Ogos turut dilapangkan. Mahkamah menetapkan tarikh baharu prosiding pada 2 September 2025.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How membantah penangguhan tersebut dan menegaskan pihaknya bersedia meneruskan perbicaraan.
Katanya, sekiranya keadaan peguam tidak berubah, Bung Moktar boleh memberi keterangan sendiri pada tarikh ditetapkan.
Pada 22 Mei lalu, Bung Moktar dan Zizie gagal mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan arahan supaya mereka membela diri.
Mahkamah Rayuan sebelum itu, pada 18 November 2024, membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan pasangan berkenaan pada September 2023.
Kes ini bermula sejak 2019 apabila Bung Moktar, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad, didakwa menerima rasuah berjumlah RM2.8 juta sebagai dorongan meluluskan pelaburan Felcra sebanyak RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.






