Nelayan Hilang Ditemui Lemas

Nelayan Hilang Ditemui Lemas

0
SHARE
Nelayan
Doa dibacakan jenazah setibanya di jeti ( Sumber Foto: Ihsan Maritim Malaysia )

SANDAKAN, SABAH – Mayat seorang nelayan tempatan yang dilaporkan hilang semalam ditemui kira-kira jam 9.50 pagi tadi di perairan Tanjung Pisau, di sini pada Jumaat

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata jenazah Asmin Lasait, 45, telah berjaya ditemui oleh Bot Ronda Cenderawasih 04 bersama sebuah bot nelayan yang juga turut sama membantu dalam pencarian.

Terdahulu, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu menerima maklumat mengenai penemuan sebuah bot nelayan tempatan hanyut tanpa pengemudi di sekitar Perairan Bankawan kira-kira jam 2.30 petang Khamis.

“Operasi CARILAMAT diaktifkan pada jam 3.15 petang hari yg sama. Namun usaha pencarian hari pertama tidak berhasil dan operasi ditangguhkan pada jam 6.30 petang berikutan keadaan yang mula gelap menyukarkan usaha pencarian.

“Operasi CARILAMAT hari kedua diaktifkan kembali pada jam 7 pagi dengan membabitkan aset-aset milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Selain itu, beberapa bot milik penduduk setempat turut membantu melakukan pencarian,” katanya.

Zainudin berkata menurut saksi kejadian, mangsa kali terakhir dilihat turun ke laut untuk menangkap ikan pada jam 5.00 pagi sebelum disyaki lemas berikutan penemuan bot miliknya hanyut tanpa pengemudi.

Mayat mangsa kemudiannya di bawa ke jeti Zon Maritim Sandakan untuk proses pengecaman dan bedah siasat. Operasi CARILAMAT ditamatkan sepenuhnya sekitar jam 11.45 pagi.

“Maritim Malaysia mengingatkan kepada komuniti nelayan agar patuhi langkah-langkah keselamatan sepanjang berada di laut bagi mengelak dari berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Sebarang insiden di laut boleh terus hubungi bilik operasi 24 jam Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian MERS 999,” katanya.