TAWAU: Seorang suspek kes samun bersenjata dan cubaan merogol wanita warga asing bertindak agresif dengan menyerang anggota polis menggunakan sebatang besi sebelum terjun ke laut dan cuba menenggelamkan seorang anggota polis ketika operasi tangkapan di Kampung Titingan, di sini, pada 9 Oktober lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, polis terpaksa melepaskan tembakan amaran sebelum berjaya menahan suspek, manakala dua anggota polis mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, operasi tangkapan itu dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama Strike Team Balai Polis Tawau dan Pondok Polis Kawasan (PPK) Titingan.
Beliau berkata, operasi berkenaan bertujuan menahan suspek kes samun bersenjata dan cubaan merogol seorang wanita warga asing berusia 18 tahun yang berlaku kira-kira jam 3.50 pagi pada hari sama.
“Dalam kejadian samun itu, tiga lelaki bersenjatakan parang dipercayai melarikan dua telefon bimbit dan wang tunai RM434 milik mangsa, dengan jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan RM3,500.
“Semasa operasi tangkapan, seorang suspek bertindak agresif dengan cuba menyerang anggota polis menggunakan sebatang besi sebelum terjun ke laut.
“Suspek turut memukul dan cuba menenggelamkan seorang anggota polis ketika dikejar sehingga tembakan amaran terpaksa dilepaskan sebelum suspek berjaya ditangkap,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.
Rosdi berkata, suspek yang ditahan merupakan lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Katanya, polis turut merampas sebatang besi, manakala hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Mengulas video kejadian yang tular di media sosial, beliau menegaskan bahawa rakaman berkenaan memaparkan tindakan polis melepaskan tembakan amaran ketika operasi tangkapan pada 9 Oktober lalu dan bukannya kejadian berbalas tembakan atau insiden baharu.
“Polis ingin menegaskan bahawa video tular tersebut memaparkan tembakan amaran semasa operasi tangkapan pada 9 Oktober 2026, bukannya kejadian berbalas tembakan atau kejadian baharu,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 395, 397 dan 354 Kanun Keseksaan, manakala dua lagi suspek masih dikesan.
Sehubungan itu, Rosdi meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian menghubungi Inspektor Norhafizah Hussin di talian 012-527 9004 bagi membantu siasatan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung video tular berkenaan.






