Bekas Pegawai Penerangan Daerah Dipenjara 12 Bulan, Denda RM73,600 Kerana Tuntutan Palsu

Bekas Pegawai Penerangan Daerah Dipenjara 12 Bulan, Denda RM73,600 Kerana Tuntutan Palsu

0
SHARE

KENINGAU: Seorang bekas Pegawai Penerangan Daerah Keningau dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM73,600 oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas didapati bersalah mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM14,720 berkaitan pembekalan makanan dan minuman sempena Sukan SAGA IX Keningau 2019.

Tertuduh, Jaffar Matamin, 62, dijatuhi hukuman itu oleh Hakim Dr Nur Ashikin Mokhtar pada Jumaat (9 Oktober) selepas disabitkan atas satu pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Jaffar yang ketika kejadian bertugas sebagai Pegawai Penerangan Daerah Keningau telah mengemukakan dokumen tuntutan membekalkan jamuan makanan dan minuman kepada petugas media di Pusat Media Kompleks Sukan Keningau sempena Sukan SAGA IX Keningau 2019.

Dokumen tuntutan atas nama Didi Enterprise itu dikemukakan kepada Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sabah pada 18 Februari 2020 bagi pembekalan makanan pagi, tengah hari dan petang sepanjang 5 hingga 13 Disember 2019.

Bagaimanapun, tuntutan berjumlah RM14,720 itu mengandungi butir matan palsu kerana makanan dan minuman berkenaan sebenarnya tidak dibekalkan sepenuhnya seperti yang dinyatakan.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara 12 bulan berkuat kuasa dari tarikh sabitan, iaitu 9 Oktober 2026.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar, manakala tertuduh diwakili firma guaman M.S Shah & Associates.