LAHAD DATU: Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang warga asing dipercayai memiliki dan menyalahgunakan dadah jenis syabu dalam tiga tangkapan berasingan di sini pada Isnin.
Tangkapan tersebut dilaksana oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu menerusi Operasi Tapis.
IPD Lahad Datu memaklumkan, tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki warga Filipina ditahan di tepi jalan Kampung Panji, Jalan Pantai dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
“Pemeriksaan lanjut telah menemui dadah disyaki syabu seberat 0.13 gram, kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Tangkapan kedua seorang lelaki tempatan, 44 tahun, di lokasi berhampiran dan pemeriksaan menjumpai satu lipatan kertas merah berisi syabu seberat 0.26 gram.
“Suspek turut didapati positif amphetamine dan methamphetamine serta mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Manakala, kes ketiga melibatkan seorang lelaki, 22 tahun, ditahan di pejabat BSJND Lahad Datu.
Berdasarkan maklumat awam, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek juga positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine dan Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Kesemua suspek akan direman untuk siasatan lanjut.






