Sekolah di Sabah Ditutup Jika IPU Melebihi 150 Selama Tiga Hari Berturut-turut,...

Sekolah di Sabah Ditutup Jika IPU Melebihi 150 Selama Tiga Hari Berturut-turut, di Tawau Tutup Mulai Esok

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah mengarahkan semua sekolah di kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 150 selama tiga hari berturut-turut ditutup sementara, dengan semua sekolah di daerah Tawau diarahkan tutup mulai esok (14 Oktober) susulan keadaan jerebu yang semakin buruk.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, berkata langkah itu bertujuan melindungi murid dan guru daripada kesan buruk pencemaran udara terhadap kesihatan.

“Langkah ini juga selaras dengan arahan Kementerian Pendidikan susulan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dalam kenyataan berasingan mengesahkan semua sekolah di seluruh daerah Tawau akan ditutup mulai Rabu (14 Oktober) berikutan bacaan IPU melebihi 150 yang dikategorikan pada tahap tidak sihat.

Menurut JPNS, keputusan itu merupakan langkah berjaga-jaga bagi memastikan kesihatan dan keselamatan murid, guru serta seluruh warga sekolah sentiasa terpelihara.

“Sehubungan dengan itu, semua pentadbir sekolah di daerah Tawau diminta mengambil maklum dan mematuhi arahan penutupan ini.

“Ibu bapa dan penjaga juga dinasihatkan supaya memastikan anak-anak berada di tempat yang selamat, mengurangkan aktiviti luar dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa kualiti udara melalui saluran rasmi,” menurut kenyataan itu.

JPNS memaklumkan, pembukaan semula sekolah tertakluk kepada keadaan kualiti udara semasa serta arahan atau pemakluman rasmi selanjutnya daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan JPNS.