Gagasan Rakyat Tubuh Jawatankuasa Khas Bincang Kerjasama Dan Agihan Kerusi PRN-17

Gagasan Rakyat Tubuh Jawatankuasa Khas Bincang Kerjasama Dan Agihan Kerusi PRN-17

0
SHARE

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi membincangkan kerjasama serta pengagihan kerusi dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17).

Presidennya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Masidi Manjun.

“Kita sudah bincang juga mengenai kita menubuhkan satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden, Datuk Masidi untuk berbincang dengan rakan-rakan parti komponen dalam GRS termasuklah juga parti yang mendukung kerajaan sekarang ini, iaitu PH-Plus. 

“Jadi, kita fokuskan kepada perbincangan rakan-rakan kita dalam kerajaan,” katanya ketika ditemui media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Gagasan Rakyat di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Hajiji memaklumkan walaupun keutamaan diberikan kepada rakan-rakan komponen GRS, PH-Plus, tidak bermakna pihaknya akan menutup pintu kerjasama dengan parti-parti lain.

“Tapi, ini tidak bermakna kita menutup pintu kepada parti-parti yang lain yang juga mendukung kerajaan perpaduan ini.

“Jadi, kita sentiasa terbuka dan boleh berbincang, yang penting ialah, untuk kebaikan negeri kita Sabah,” jelasnya.