Rizab Biosfera Kinabatangan dan Banjaran Crocker Penting Untuk Sabah

Rizab Biosfera Kinabatangan dan Banjaran Crocker Penting Untuk Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pemasyhuran Rizab Biosfera Kinabatangan, kedua di Sabah selepas Rizab Biosfera Banjaran Crocker merupakan satu detik bersejarah dan pencapaian yang amat membanggakan bagi negeri Sabah dan Malaysia.

Pengiktirafan ini, oleh UNESCO pada tahun lalu membuktikan bahawa landskap Kinabatangan yang meliputi kira-kira 413,866 hektar memiliki nilai biodiversiti dan kepentingan ekologi yang luar biasa di peringkat antarabangsa.

“Ini adalah satu lagi pencapaian penting dalam usaha berterusan negeri untuk memelihara kelestarian alam sekitar dan biodiversiti di peringkat global.

Dengan status bertaraf dunia ini, Rizab Biosfera Kinabatangan dijangka menarik perhatian dunia dalam bidang penyelidikan, pendidikan, pelancongan berasaskan alam semula jadi serta peluang kerjasama global,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis sambutan ulang tahun ke-12 Rizab Biosfera Banjaran Crocker dan Pemasyhuran Rizab Biosfera Kinabatangan di Padang Merdeka di sini pada Ahad.

Beliau berkata nilai Rizab Biosfera Banjaran Crocker dengan luas kawasan 350,584 hektar yang telah diisytiharkan pada tahun 2014 amat penting bagi Sabah.

Dianggarkan lebih daripada 1 juta individu tinggal di hampir 400 buah kampung di 10 daerah iaitu di Tuaran, Kota Kinabalu, Penampang, Ranau, Tambunan, Keningau, Tenom, Beaufort, Papar, dan Membakut dalam Rizab Biosfera Banjaran Crocker.

Pengiktirafan Rizab Biosfera Banjaran Crocker telah menyumbang kepada tapak UNESCO mahkota tiga serangkai atau the Triple Crown UNESCO Sites di negeri Sabah.

Justeru, Hajiji mahu semua pihak yang terlibat untuk terus memperkukuhkan usaha pemuliharaan biodiversiti, memperluas program kesedaran masyarakat serta meningkatkan kerjasama strategik bagi memastikan manfaat daripada pengiktirafan ini dapat dinikmati secara meluas dan mampan.

“Ini seiring dengan komitmen kerajaan negeri yang memandang serius usaha melindungi dan memulihara alam semula jadi kerana fungsi ekosistemnya amat penting untuk kegunaan penduduk dan pembangunan sosio ekonomi.

“Kewujudan kedua rizab biosfera ini juga amat berkait rapat dengan usaha murni Kerajaan Negeri Sabah untuk menjayakan Inisiatif Sabah Maju Jaya. Pada tahun ini usaha konservasi ekosistem penting di Sabah diteruskan di bawah SMJ 2.0 untuk tahun 2026 – 2030,” katanya.

Ketua Menteri berkata negeri Sabah kini berada di barisan hadapan dalam usaha perlindungan alam sekitar dan pemuliharaan.

“Negeri Sabah sekian lama telah pun melindungi hutan, hidupan liar, serta beberapa ekosistem paling kaya di rantau ini. Pada masa ini, hampir 30 peratus daripada kawasan daratan Sabah diwartakan sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA).

“Justeru, kita bertekad untuk terus mengukuhkan peranan Sabah sebagai penyerap karbon, termasuk melalui Rizab Biosfera Banjaran Crocker dan Kinabatangan.

“Pada masa ini, Sabah kekal sebagai penyerap karbon bersih yang utama, menyumbang kira-kira 36 peratus daripada jumlah pengasingan karbon Malaysia melalui hutan tropika yang luas.

“Inti mesejnya ialah, rizab biosfera menyokong iklim, khususnya dengan berfungsi sebagai penyerap karbon,” katanya.

Hajiji berkata kedua rizab biosfera ini ialah kawasan istimewa yang melindungi alam semula jadi, dan aktiviti manusia diurus secara mampan.

“Rizab Biosfera Banjaran Crocker melindungi ekosistem pergunungan dan hutan bagi memelihara tumbuhan serta haiwan yang unik, sambil menyokong tampang air.

“Sementara itu, Rizab Biosfera Kinabatangan memberi tumpuan kepada ekosistem sungai dan tanah lembap iaitu habitat penting bagi hidupan liar serta penting untuk mengekalkan keadaan air yang sihat.

“Apabila hutan dilindungi dan diberi peluang untuk pulih serta tumbuh semula secara semula jadi, hutan terus menyimpan karbon untuk jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata rizab biosfera juga memainkan peranan penting dalam mengukuhkan ekonomi setempat dan pemuliharaan yang paling berkesan berlaku apabila komuniti mendapat manfaat daripada usaha melindungi alam semula jadi.

“Di Banjaran Crocker dan Kinabatangan, penduduk setempat boleh meraih manfaat melalui pelancongan mampan, termasuk homestay dan perusahaan berasaskan komuniti.

“Mata pencarian jangka panjang ini menggalakkan komuniti untuk terus melindungi hutan dan hidupan liar kerana alam sekitar menjadi sumber pendapatan yang stabil, bukan keuntungan jangka pendek,” katanya.

“Oleh itu, kita semua harus memastikan pengiktirafan kedua rizab biosfera ini dapat memberi manfaat dan limpahan ekonomi kepada semua lapisan masyarakat yang tinggal di dalam kedua-dua kawasan rizab biosfera ini,” katanya.