UMAT ISLAM PERLU KUKUHKAN PERPADUAN, SALING BERMUAFAKAT: KM HAJIJI

UMAT ISLAM PERLU KUKUHKAN PERPADUAN, SALING BERMUAFAKAT: KM HAJIJI

0
SHARE
Juhar
Yang diPertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyampaikan anugerah Tokoh Ma’al Hijrah kepada Yang Dipertua USIA Sabah, Datuk Sapawi Ahmad sempena sambutan Majlis Perhimpunan Ma’al Hijrah 1445H/2023M, Peringkat Negeri Sabah di Dewan Sa’adah, Wisma MUIS ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Umat Islam di Sabah perlu sentiasa bersatu padu, berganding bahu dan saling bermuafakat atas apa juga isu dan permasalahan yang dihadapi dalam dunia yang penuh mencabar pada hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata sambutan Maal Hijrah bukan semata-mata menyambut kedatangan tahun baharu tetapi lebih kepada penghayatan perjuangan demi menegakkan keadilan dan kebenaran, memperhebatkan syiar Islam serta membina ukhuwah dalam kalangan umatnya.

“Dunia pada hari ini bukan lagi seperti di zaman Rasulullah SAW. Malah jika dibandingkan keadaan sekarang dengan tempoh tiga atau empat dekad yang lalu, keadaan amat berbeza.

“Kemajuan ilmu pengetahuan, lebih-lebih lagi dalam era ledakan teknologi maklumat yang serba canggih dan semakin hebat di zaman modern ini, menjadikan suasana kehidupan sudah jauh berubah.

“Kita pada hari ini berhadapan dengan pelbagai cabaran, baik dalam politik, ekonomi, masalah sosial hingga berkaitan kesihatan, alam sekitar, bekalan makanan termasuklah cabaran besar yang dihadapi oleh seluruh umat Islam iaitu Islamofobia.

“Kerjasama dan permuafakatan akan melahirkan perpaduan dan kekuatan. Jika kita kuat kita mudah menang dan mencapai kejayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Maal Hijrah 1445H Peringkat Negeri Sabah bertempat di Dewan Sa’adah Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Hajiji dalam pada itu juga berkata dunia Barat tidak akan berhenti mereka cipta pelbagai tohmahan untuk memburukkan imej Islam, termasuk mengadu-domba negara-negara yang didominasi oleh umat Islam.

“Tindakan membakar kitab suci Al-Quran atas nama kebebasan bersuara adalah kemegahan peradaban dunia Barat yang sangat kita kutuk.

“Walau bagaimanapun, sebagai umat yang cintakan keamanan dan kedamaian, kita tidak akan bertindak balas dengan memusnahkan kitab suci penganut agama lain.

“Sebaliknya, kita di Malaysia, bertekad mencetak sejuta kitab suci Al-Quran bagi
menggantikan senaskhah Al-Quran yang telah dibakar itu.

“Justeru, saya ingin mengesyorkan supaya MUIS berganding bahu dengan beberapa badan bukan kerajaan seperti Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) misalnya, mengadakan inisiatif dakwah dengan menyokong usaha kerajaan Malaysia Madani,” katanya.

Beliai berkata kerajaan negeri bersama kerajaan Persekutuan tetap komited dalam memastikan pembangunan syiar Islam di negara ini terus diperhebat, terutama membentuk masyarakat madani yang mengutamakan nilai ukhuwah dan insani.

“Saya juga berkeyakinan toleransi kaum dapat terus dipupuk dan dipertingkatkan, agar kita terus hidup dalam aman damai, tenteram dan harmoni.

“Formula kejayaan kita selama ini adalah didorong oleh pembangunan akhlak insani iaitu saling hormat menghormati dan percaya mempercayai dalam menjalin semangat kerjasama walau dalam kepelbagaian kaum, etnik dan budaya bangsa.

“Inilah satu keunikan dan keistimewaan yang wujud di negeri Sabah harus kita banggakan dan pertahankan,” katanya.