KOTA KINABALU, SABAH – Polis mengakhiri sebuah sambutan hari jadi yang dipercayai ingkar SOP di sebuah pusat hiburan tingkat empat Kompleks Asia City di sini, malam tadi dengan 18 kompaun.
Seramai 21 orang termasuk TUJUH (7) wanita menanggung akibat berhibur dan beroperasi pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dalam kejadian pukul 10 itu.
Ketua Polis Kota Kinabalu, ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata 17 pengunjung dikenakan kompaun RM 1,500 dan pemilik premis, seorang lelaki, RM 10,000.
“Pihak polis berhadapan sedikit halangan masuk kerana suspek mengunci pintu dari dalam sebuah bilik karaoke apabila sedar kedatangan polis melalui CCTV (kamera litar tertutup)…
“Tetapi pasukan pemantau kita berjaya memecah pintu dan menahan mereka.”
Zaidi berkata hasil pemeriksaan mendapati semua suspek berusia 21 hingga 35 tahun.
“Tiga lagi warganegara asing ditahan dan siasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin boleh menyebabkan jangkitan penyakit merbahaya kepada awam,” katanya.
Hasil ujian air kencing juga mendapati empat lelaki dan empat wanita positif dadah jenis syabu. Mereka telahpun dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.
“Pemeriksaan lanjut juga mendapati lesen pusat hiburan berkenaan tamat tempoh sejak 2018…
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil ke atas mana – mana pemilik pusat hiburan yang cuba curi-curi beroperasi sebagai satu pengajaran kepada mereka,” Zaidi berkata.