Inkues Zara: Dr Jessie Tolak Kemungkinan Zara Ditolak atau Diserang

Inkues Zara: Dr Jessie Tolak Kemungkinan Zara Ditolak atau Diserang

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pakar patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu menolak kemungkinan bahawa Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir ditolak atau diserang sebelum ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asramanya pada awal pagi 16 Julai lalu.

Dalam keterangannya pada hari kedua prosiding inkues di Mahkamah Koroner, di sini hari ini, Dr Hiu menegaskan pemeriksaan lokasi kejadian menunjukkan mangsa tidak mungkin terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak oleh mana-mana pihak.

“Jeriji besi pada dinding koridor asrama terlalu tinggi, sekali gus menghalang sebarang kemungkinan mangsa jatuh secara tidak sengaja. Jika ditolak sekalipun, jeriji tersebut akan menjadi penghalang,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Ketua Pendakwaan II, Datuk Badiuszaman Ahmad yang mengendalikan prosiding.

Menurut beliau, berdasarkan demonstrasi yang dilakukan semasa pemeriksaan lokasi, terdapat kemungkinan besar Zara sama ada berdiri di atas dinding konkrit lalu melompat atau bergayut sambil berpegang pada jeriji besi gantung.

Ketika ditanya sama ada kematian berpunca daripada serangan, Dr Hiu menjawab:

“Berdasarkan pemeriksaan lokasi, tidak ada tanda serangan. Punca kematian adalah akibat jatuh dari tempat tinggi.”

Dr Hiu turut menjelaskan beberapa keping gambar hasil pemeriksaan lokasi serta menunjukkan semula cara Zara berkemungkinan jatuh, dengan kerjasama pegawai perubatan HQE dalam bentuk demonstrasi.

Pemeriksaan lokasi itu dilaksanakan pada 2 Ogos lalu bersama pegawai perubatan HQE, tiga anggota polis serta kakitangan sekolah terbabit.

Beliau menambah, berdasarkan kedudukan tubuh, Zara berkemungkinan besar mendarat dengan kaki terlebih dahulu sebelum rebah ke belakang dalam keadaan terbaring dengan wajah menghadap ke atas.