Banjir Jejaskan Loji Balung, Lebih 5,500 Pengguna Tawau Terputus Bekalan Air

Banjir Jejaskan Loji Balung, Lebih 5,500 Pengguna Tawau Terputus Bekalan Air

0
SHARE

TAWAU: Kejadian banjir telah menjejaskan operasi beberapa Loji Rawatan Air (LRA) di daerah ini, menyebabkan gangguan bekalan air kepada kira-kira 5,578 akaun pengguna.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, antara loji terlibat ialah LRA Apas Balung 1 dan 2, LRA Utara serta LRA Cinta Mata.

LRA Apas Balung 1 dan 2 terpaksa dihentikan sementara selepas kawasan loji ditenggelami air sepenuhnya, sekali gus menyebabkan kerosakan kepada komponen mekanikal dan elektrikal,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pasukan teknikal Jabatan Air Bahagian Tawau sedang menjalankan pemeriksaan menyeluruh, kerja pembersihan serta pembaikan bagi membolehkan operasi loji terjejas dipulihkan dengan selamat.

Dalam masa sama, LRA Utara dan LRA Cinta Mata telah kembali beroperasi, dengan pengeluaran air terawat dipertingkatkan secara berperingkat bagi menstabilkan bekalan.

Bagi mengurangkan impak gangguan, Jabatan Air turut mengaktifkan pelan mitigasi termasuk penghantaran bekalan air menggunakan lori tangki ke kawasan terjejas.

“Segala usaha sedang dipergiatkan untuk mempercepatkan proses pemulihan dan memastikan bekalan air kembali stabil secepat mungkin,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, sebagai langkah jangka panjang, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pelaksanaan Projek Skim Bekalan Air Fasa III termasuk pembinaan Empangan Tawau yang dijangka siap pada Oktober tahun depan.

Katanya, projek itu dijangka meningkatkan kemampanan bekalan air serta sistem kawalan banjir pada masa hadapan.

Orang ramai yang terjejas diminta bersabar dan mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi Jabatan Air Sabah.