KOTA KINABALU, SABAH – Sistem aplikasi Internet of Things (IoT) yang akan dibangunkan tidak lama lagi dijangka dapat menangani masalah kadar kemandirian ternakan yang rendah, khususnya dalam industri akuakultur di Sabah.
“Penggunaan aplikasi IoT ini dalam penternakan ikan juga selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengguna Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) dalam pelbagai sektor utama di seluruh negara,” kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan.
Dr. Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian penyelidikan antara Ko-Nelayan dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi menjalankan penyelidikan penggunaan IoT bagi memantau dan mengawal kualiti air dalam projek akuakultur.
Penternakan ikan adalah komponen utama ditekankan dalam perjanjian penyelidikan yang merangkumi reka bentuk, pembangunan, analisis dan ujian peralatan yang mampu membaca perubahan dalam parameter air yang mempengaruhi dan menilai perubahan dalam tingkah laku ikan.
“Kerjasama antara UMS dan Ko-Nelayan diharap dapat menyelesaikan beberapa masalah dalam bidang perikanan akuakultur khususnya dalam penternakan sangkar, penternakan kolam dan ‘Pen Culture’…
“Dengan menggunakan aplikasi IoT, kita berharap produktiviti perikanan akuakultur akan bertambah baik sekali gus meningkatkan pendapatan petani,” katanya.
‘Internet of Things for Smart Aquaculture’ dijangka dapat memberi maklumat tentang kesesuaian air bagi menjamin keselamatan ternakan.
Dr. Jeffrey berkata, penggunaan teknologi juga bertujuan untuk meremajakan industri dengan menjemput lebih ramai petani muda menceburi sektor industri Perikanan Akuakultur kerana ia tidak lagi dilihat sebagai industri yang terlalu payah dengan adanya dorongan teknologi.
“Sebagai langkah pertama, Projek Ternakan Ikan Tuaran Ko-Nelayan telah dipilih untuk Pembangunan Sistem Pengumpulan Data berasaskan IoT yang akan mewujudkan sistem pemantauan dan kawalan pintar dalam pengurusan ternakan…
“Jika ini berjaya, kami akan berusaha untuk menyediakan sistem ini kepada petani kita di seluruh Sabah,” katanya.
Beliau berkata kerajaan Sabah melalui kementeriannya sentiasa menyokong usaha agensi dan jabatan kerajaan dalam menjalinkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi khususnya UMS yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang bagi meningkatkan produktiviti perikanan akuakultur menggunakan sistem moden.
“Saya amat berharap kerjasama penyelidikan ini akan mencapai matlamatnya di samping memberi impak yang besar kepada industri perikanan akuakultur khususnya di Sabah,” katanya.