KOTA KINABALU, 9 Oktober – Mahkamah Koroner di sini hari ini diberitahu bahawa perkataan “bodoh” telah disebut oleh seorang pelajar ketika sesi soal jawab melibatkan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, menurut keterangan saksi ke-19 yang juga merupakan seorang kanak-kanak perempuan.
Inkues berhubung kematian pelajar itu kini memasuki hari ke-20 dan dijalankan di hadapan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.
Peguam Shahlan Jufri, yang mewakili pihak berkepentingan dalam prosiding tersebut, berkata saksi berkenaan menegaskan bahawa dia tidak mempunyai sebarang konflik peribadi dengan Allahyarhamah, dan hanya menjelaskan keadaan sebelum serta semasa pertemuan yang berlaku pada malam kejadian.
“Sekitar jam 9 malam, 15 Julai 2025, saksi dimaklumkan oleh rakan sebilik bahawa dompet mengandungi wang dan kad pengenalan telah hilang. Rakan itu turut menyatakan syak terhadap Zara,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.
Menurut Shahlan, saksi kemudian meminta seorang pelajar lain memanggil Zara ke biliknya. Dalam pertemuan pertama itu, saksi bersama beberapa rakannya menyoal Zara mengenai kehilangan dompet berkenaan.
“Saksi bertanya, ‘kau tahu kah dompet IC pelajar ini hilang?’ dan ‘kau ada curi kah barang pelajar ini?’. Namun Zara menafikan tuduhan itu dan bersumpah ‘Wallahi’ bagi menegaskan dia tidak mengambilnya,” jelas beliau.
Shahlan berkata, selepas itu beberapa pelajar lain turut masuk ke bilik dan menyoal Zara tentang perkara sama. Saksi juga mengakui dia ada berkata kepada Allahyarhamah, “kau mengaku saja kalau kau yang ambil, kami tidak marah juga,” namun Zara tetap menafikan tuduhan tersebut.
Tambahnya, saksi berkenaan mendengar dengan jelas perkataan “bodoh” disebut semasa sesi soal jawab itu, tetapi tidak pasti siapa yang mengucapkannya.
Saksi juga tidak mengingati dengan tepat berapa lama pertemuan itu berlangsung dan tidak menyedari sebarang reaksi emosi luar biasa daripada Allahyarhamah.
“Saksi memaklumkan bahawa selepas beberapa ketika, dia keluar dari bilik bersama dua pelajar lain, manakala Zara masih bersama beberapa pelajar lain. Dia kemudian bercadang untuk tidur di dorm lain bersama rakan-rakan dan telah memaklumkan perkara itu kepada ketua dorm,” ujar Shahlan.
Menurut keterangan, saksi keluar dari dorm sekitar jam 10 malam dan tidak berada di situ antara jam 12 tengah malam hingga 3 pagi. Pada awal pagi keesokannya, dia dikejutkan oleh rakan yang memaklumkan penemuan Zara terbaring di bawah bangunan asrama.
“Saksi menyatakan dia terkejut apabila melihat keadaan Zara dari tangga di aras tiga,” katanya.
Shahlan bersama barisan peguam Rizwandean M. Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser, dan Elhanan James mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina, yang merupakan pihak berkepentingan dalam inkues itu.
Allahyarhamah Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) keesokan harinya.






