‘Circle Nineteen’ Hanya Rakan Sebaya, Bukan Pembuli – Saksi

‘Circle Nineteen’ Hanya Rakan Sebaya, Bukan Pembuli – Saksi

0
SHARE

KOTA KINABALU, 9 Oktober – Kumpulan pelajar yang dikenali sebagai ‘Circle Nineteen’ bukan kumpulan pembuli seperti yang didakwa, sebaliknya hanyalah sekumpulan rakan rapat yang sering melakukan aktiviti bersama sejak Tingkatan Satu, menurut keterangan seorang saksi dalam inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Perkara itu dimaklumkan saksi ke-19, seorang pelajar perempuan sekolah berkenaan, ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu pada Khamis.

Peguam Joan Goh, yang mewakili salah seorang daripada lima remaja berkepentingan dalam prosiding tersebut, berkata beliau menyoal secara langsung saksi berhubung kewujudan kumpulan itu serta dakwaan kaitannya dengan insiden melibatkan Allahyarhamah.

“Saksi menjelaskan bahawa ‘Circle Nineteen’ hanya terdiri daripada 19 pelajar yang sudah bersahabat lama dan tidak pernah terlibat dalam sebarang perbuatan membuli — sama ada terhadap Zara Qairina mahupun pelajar junior lain,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.

Menurut Joan, saksi turut menceritakan mengenai insiden kehilangan dompet yang dikaitkan dengan Zara pada malam sebelum tragedi berlaku.

“Saksi dimaklumkan tentang kehilangan dompet oleh seorang pelajar junior dan timbul syak terhadap Zara. Dia kemudian meminta seseorang memanggil Zara ke dorm untuk bertanya secara baik sama ada Zara mengambil dompet itu. Zara menjawab, ‘dulu saja saya buat benda ini, sekarang tidak sudah’, kira-kira begitu katanya,” ujar beliau.

Saksi berkenaan juga memaklumkan bahawa selepas perbualan itu, suasana kembali tenang dan tiada sebarang insiden paksaan atau tekanan terhadap Allahyarhamah.

“Tiada tindakan agresif, tiada tekanan. Saksi hanya berbual seperti biasa sebelum keluar dari dorm sekitar jam 10 malam untuk tidur,” kata Joan lagi.

Joan, bersama peguam Datuk Ram Singh, hadir mewakili salah seorang remaja yang dikaitkan dengan kes tersebut sebagai pihak berkepentingan dalam inkues yang sedang berlangsung.

Allahyarhamah Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) keesokan harinya