KOTA KINABALU – Pusat Pendaftaran Kontraktor Kerja, Bekalan, Perkhidmatan dan Juruperunding Negeri Sabah (PUKONSA) Sabah terus menjadi sasaran kritikan selepas orang awam dan kontraktor tempatan mendakwa masalah komunikasi serta kesukaran menghubungi pejabat agensi itu masih berlarutan walaupun pelbagai aduan telah dibangkitkan sejak beberapa tahun lalu.
Terbaharu, SabahNews menerima aduan daripada orang awam yang mendakwa talian telefon pejabat PUKONSA masih sukar dihubungi walaupun isu tersebut telah berulang kali dibangkitkan sebelum ini.
Malah, seorang pengadu mendakwa telah cuba menghubungi pejabat PUKONSA hampir 10 kali dalam tempoh sehari namun panggilan tersebut gagal dijawab.
PUKONSA seakan pekakkan telinga. Walapun Ketua Menteri telah tegur.Pengadu memaklumkan bahawa hampir 10 kali menghubungi PUKONSA, tetap tetap tiada respon dan tiada sebarang jawapan…
🎥 Bukti Video Ihsan Orang Awam
Menurut aduan yang diterima, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai tahap kecekapan perkhidmatan yang diberikan kepada orang awam, khususnya kontraktor dan usahawan yang bergantung kepada PUKONSA bagi urusan permohonan lesen, pembaharuan lesen dan penyertaan tender.
SabahNews turut menerima pelbagai rungutan daripada kontraktor yang mendakwa berdepan masalah serupa, termasuk kelewatan mendapatkan maklumat berkaitan status permohonan serta tempoh menunggu yang panjang bagi urusan pembaharuan lesen.
Menurut aduan yang diterima, terdapat permohonan pembaharuan lesen yang didakwa mengambil masa sehingga enam hingga tujuh bulan untuk diproses, manakala terdapat juga kes di mana lesen yang telah diluluskan mengambil masa beberapa bulan lagi sebelum dapat diserahkan kepada pemohon.
Kontraktor yang terlibat mendakwa kelewatan tersebut bukan lagi isu terpencil, sebaliknya telah menjadi rungutan berterusan yang menjejaskan operasi perniagaan serta peluang mereka mendapatkan projek dan perolehan baharu.
Menurut mereka, sepanjang tempoh menunggu, banyak syarikat tidak dapat mengambil bahagian dalam tender dan projek yang memerlukan lesen yang sah dan masih berkuat kuasa, sekali gus menyebabkan kerugian dari segi peluang perniagaan dan potensi pendapatan.
Orang awam yang menghubungi SabahNews turut mempersoalkan mengapa masalah yang sama masih berulang walaupun terdapat pihak yang sebelum ini telah mengeluarkan notis tuntutan dan mengancam tindakan saman terhadap PUKONSA berhubung isu kelewatan serta pengurusan permohonan lesen.
Menurut mereka, keadaan itu seolah-olah menunjukkan aduan dan kritikan yang dibangkitkan selama ini tidak diberi perhatian sewajarnya walaupun melibatkan kepentingan ribuan kontraktor dan usahawan tempatan di Sabah.
Sementara itu, SabahNews turut menerima rakaman video yang menunjukkan cubaan menghubungi talian pejabat PUKONSA yang didakwa tidak dijawab oleh pihak berkenaan. Rakaman tersebut dipercayai dibuat pada 15 Jun 2026 sekitar jam 2.30 petang dan menjadi antara bukti yang dikemukakan bagi menyokong dakwaan berhubung masalah komunikasi dengan agensi tersebut.
Untuk rekod, SabahNews pada tahun 2023 pernah menyiarkan laporan bertajuk “Unit Permohonan Lesen Kontraktor PUKONSA Terlalu Lembab Macam Kura-Kura” susulan aduan beberapa kontraktor yang mendakwa proses permohonan dan pembaharuan lesen mengambil masa terlalu lama.

Difahamkan, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sebelum ini telah berhubung terus dengan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah dan mengarahkan agar penambahbaikan segera dilakukan terhadap sistem kerja serta penyampaian perkhidmatan PUKONSA.
Namun, orang awam dan kontraktor yang menghubungi SabahNews mendakwa sehingga kini mereka masih belum melihat perubahan yang ketara terhadap mutu perkhidmatan agensi berkenaan.
Mereka berharap pihak yang bertanggungjawab tidak sekadar menerima teguran, sebaliknya melaksanakan perubahan sebenar bagi memastikan urusan kontraktor dan usahawan tempatan tidak terus dibebani dengan masalah yang sama.






