KOTA KINABALU: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir membabitkan sebahagian besar kawasan di Sabah dengan hujan lebat dan angin kencang dijangka berterusan sehingga jam 6 petang hari ini.
METMalaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan pada jam 4 petang berkata, kawasan terlibat meliputi beberapa daerah di Pedalaman, Tawau, Sandakan dan Pantai Barat serta Kudat.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di Sabah membabitkan Pedalaman iaitu Pensiangan, Kuala Penyu, Beaufort, Membakut, Sipitang, Tenom dan Keningau.
“Turut terlibat ialah Kalabakan, Tawau, Kunak dan Lahad Datu di bahagian Tawau serta Kinabatangan, Paitan dan Labuk & Sugut di Sandakan,” menurut kenyataan itu.
Bagi Pantai Barat, amaran berkenaan melibatkan Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud, selain Kudat.
Amaran sama turut dikeluarkan bagi Wilayah Persekutuan Labuan dan beberapa kawasan di Sarawak, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang serta Johor.
Menurut METMalaysia, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya.
Amaran berkenaan dikeluarkan pada jam 4 petang, Rabu dan sah sehingga jam 6 petang, 16 September 2026.






