‘Spiderman Lokap’ Kepayan Akhirnya Terjerat

‘Spiderman Lokap’ Kepayan Akhirnya Terjerat

0
SHARE
Ipd
Nazri ditangkap polis selepas dikejar dalam kawasan hutan Tuaran ( Sumber Foto: Gambar tular di media sosial )

KOTA KINABALU, SABAH – Pihak polis berjaya menahan semula seorang tahanan reman yang melarikan diri dari Lokap Berpusat Kepayan dan ditemui di Tuaran.

Pemburuan dua hari terhadap Nazri Hassan, 33, berakhir pada Isnin selepas beliau berjaya memanjat geriji lokap dan keluar dari tingkap pada tengah hari Sabtu.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Shahurinain Jais, suspek ditangkap dalam kawasan hutan simpan berhampiran Mimpian Jadi Resort pada jam lebih kurang 11.50 pagi.

Beliau berkata lelaki itu yang asalnya direman mengikut Seksyen 431 A Kanun Keseksaan (mencuri kabel) ditemui bersembunyi di dalam sebuah pondok usang.

“Suspek telah dibawa ke balai Kota Kinabalu kira-kira jam empat petang untuk tindakan lanjut.

“Polis Sabah mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai di atas kerjasama menyalurkan maklumat yang membawa kepada penahanan suspek,” katanya ketika dihubungi wartawan.

Rakaman CCTV lelaki tersebut yang tular di media sosial sehingga beliau mendapat jolokan “Spiderman” oleh netizen.

Selain menjadi bahan jenaka, Nazri turut mengundang kemarahan penduduk Bahagian Pantai Barat disebabkan sekatan jalan raya yang terpaksa dijalankan pihak polis bagi mengesannya, dalam Op Tutup.