KUALA LUMPUR: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) hari ini menyerahkan memorandum kepada Raja-Raja Melayu memohon campur tangan diraja bagi menjamin inkues kematian dijalankan berhubung kematian tragis remaja, Zara Qairina Mahathir, di Sabah.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar dalam sidang media di hadapan Istana Negara berkata, permohonan rasmi telah dihantar beberapa hari lalu dengan harapan agar Majlis Raja-Raja memperkenankan siasatan bebas demi menegakkan keadilan tanpa gangguan mana-mana pihak.
“Kami menghormati siasatan polis, namun terlalu banyak persoalan yang membelenggu rakyat. Antaranya, pakaian mangsa yang sepatutnya dijadikan bukti telah dibawa pulang ke rumah dan dibasuh oleh ibunya.
“Dan mengapa tiada bedah siasat? Bahkan kes kematian mengejut pun wajib melalui post mortem,” katanya.
Zulkarnain berkata, rakyat semakin gelisah dan hilang kepercayaan apabila timbul pelbagai teori liar di media sosial, termasuk dakwaan mangsa kononnya telah dimasukkan ke dalam mesin basuh sebelum meninggal dunia.
“Kita tidak mahu polemik berpanjangan, apatah lagi ada pihak tertentu yang mempolitikkan tragedi ini dengan menabur tuduhan palsu terhadap kerajaan. Sedangkan ibu arwah sendiri tidak pernah menyalahkan mana-mana VIP,” katanya lagi.
G57 turut menawarkan pasukan guaman tambahan secara percuma dan sedia menanggung sepenuhnya kos perundangan sekiranya diperlukan oleh keluarga mangsa.
Malah, Zulkarnain menyatakan hasrat peribadinya untuk menaja si ibu menunaikan umrah sebagai usaha menenangkan hati yang sedang hancur.
“Saya sendiri menghubungi ibunya. Beliau dihimpit pelbagai persoalan dan tekanan. Suara arwah yang sempat tular sebelum meninggal menggambarkan ketakutan yang dialami,” katanya dengan nada sebak.
Beliau menegaskan inisiatif G57 bukan untuk meragui siasatan polis, sebaliknya bertujuan memberi keyakinan kepada rakyat bahawa tiada ‘campur tangan ghaib’ yang akan menjejaskan ketelusan proses keadilan.
“Kami yakin bahawa di bawah naungan payung kedaulatan Raja-Raja Melayu, keadilan tidak akan ditangguhkan lagi.
“Campur tangan diraja amat diperlukan agar persepsi awam terhadap siasatan dapat dileraikan secara adil dan profesional,” katanya.
G57 juga menyatakan kesediaan untuk menjadi pemantau awam sepanjang prosiding sekiranya diluluskan demi perjuangan seorang anak kecil yang pergi dalam keadaan yang penuh tanda tanya.
“Zara bukan anak saya, tapi sebagai seorang ayah… kehilangan ini terlalu dekat di hati,” kata Zulkarnain.






