Projek Tebatan Banjir Sungai Rampayan RM46.8 Juta Dipercepat, Mula Tahun Depan –...

Projek Tebatan Banjir Sungai Rampayan RM46.8 Juta Dipercepat, Mula Tahun Depan – Mustapha

0
SHARE

KOTA KINABALU: Projek Tebatan Banjir Sungai Rampayan Fasa 2 bernilai RM46.8 juta yang dibiayai Kerajaan Persekutuan dimohon supaya dipercepatkan pelaksanaannya kepada tahun depan bagi menangani masalah banjir di kawasan berkenaan.

Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud berkata, projek itu pada asalnya dijangka dilaksanakan menerusi Rolling Plan Ketiga (RP3), namun pihaknya telah memohon supaya pelaksanaan diawalkan kepada Rolling Plan Kedua (RP2) pada 2027.

“Fasa 2 ini kita memang minta, terima kasih kepada Kerajaan Pusat terutama Perdana Menteri sebab membantu kita mempercepatkan Fasa 2 ini.

“Memang diumumkan tahun lepas hasil lawatan Perdana Menteri, tetapi mengikut jangkaan awal akan dibuat pada RP3. Kita minta supaya dipercepatkan ke RP2, maknanya tahun depan kita mulakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke Sungai Rampayan bersama wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta kontraktor pada Selasa bagi meninjau perkembangan projek dan mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi penduduk,

Mustapha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak) berkata, Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan RM2.5 juta bagi melaksanakan kerja pengorekan sungai sepanjang dua kilometer untuk melancarkan aliran air.

Menurutnya, kontraktor bagi kerja pengorekan Fasa 2 sudah dilantik, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira kewujudan sambungan paip dan elektrik haram di kawasan terbabit.

“Bila melibatkan bekalan elektrik walaupun sambungan haram, kita perlu bekerjasama dengan pihak SESB untuk menyelesaikan dulu sambungan-sambungan haram ini supaya kakitangan kontraktor boleh membuat kerja untuk mengelakkan kemalangan berlaku,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mustapha turut menggesa kontraktor mempercepatkan penyiapan projek Fasa 1 yang kini hanya berbaki lima peratus dan perlu diselesaikan sebelum penghujung Disember ini.

Katanya, antara tindakan yang akan dilaksanakan termasuk merobohkan jambatan lama berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Rampayan serta mempercepatkan kerja pengorekan sungai hingga ke muara.

Beliau turut meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengadakan pertemuan dengan pengusaha kuari di kawasan Mansiang bagi menangani masalah aliran pasir yang berpotensi menyebabkan sungai semakin cetek.

Mustapha berkata, penyiapan Fasa 1 penting bagi membolehkan projek diserahkan kepada JPS untuk melaksanakan kerja penyelenggaraan sungai secara berjadual dan teratur.