18 Cedera, Pesawat Delta Terbalik di Lapangan Terbang Toronto

18 Cedera, Pesawat Delta Terbalik di Lapangan Terbang Toronto

0
SHARE

TORONTO, KANADA: Sebuah pesawat Delta Air Lines dari Minneapolis terhempas semasa mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pearson Toronto, menyebabkan pesawat terbalik dan mengakibatkan 18 orang cedera sekitar jam 2:45 petang waktu tempatan semalam.

Pesawat tersebut, Delta Flight 4819 yang dikendalikan oleh Endeavor Air, membawa 76 penumpang dan empat anak kapal. Tiada kematian dilaporkan, namun tiga daripada mangsa cedera berada dalam keadaan kritikal, termasuk seorang kanak-kanak. Kesemua yang cedera telah dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.

Rakaman video tular menunjukkan pesawat terbalik dengan sayap kanan hilang dan asap keluar dari badan pesawat. Namun, punca nahas masih dalam siasatan oleh Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kanada dengan bantuan dari Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional Amerika Syarikat.

Lapangan terbang ditutup sementara selepas kejadian, menyebabkan beberapa penerbangan dialihkan ke Montreal dan Ottawa.

Pesawat yang terlibat adalah Bombardier CRJ900LR berusia 15 tahun dengan nombor ekor N932XJ.

Ia pertama kali beroperasi pada September 2008 dan telah berkhidmat dengan beberapa syarikat penerbangan sebelum dikendalikan oleh Endeavor Air untuk Delta Connection.

Pada masa kejadian, terdapat salji di landasan akibat ribut musim sejuk pada hujung minggu sebelumnya, dengan angin berkelajuan 51 km/j dan suhu sekitar -8.6 darjah Celsius.

Sebelum pendaratan, pengawal trafik udara telah memberi amaran kepada juruterbang mengenai kemungkinan gangguan aliran udara semasa pendaratan.

Selepas nahas, Lapangan Terbang Antarabangsa Pearson Toronto menghentikan semua penerbangan masuk dan keluar sehingga jam 5 petang.

Penerbangan yang dialihkan telah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Montréal-Trudeau dan Lapangan Terbang Antarabangsa Ottawa Macdonald-Cartier.

Memetik News Australia, Premier Ontario, Doug Ford, menyatakan bahawa pihak berkuasa wilayah akan memberikan bantuan yang diperlukan.

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kanada akan mengetuai siasatan, sementara Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional AS akan menghantar penyiasat untuk membantu.

Kejadian ini merupakan nahas kedua melibatkan pesawat CRJ700 series pada tahun 2025, selepas perlanggaran udara di Sungai Potomac berhampiran Lapangan Terbang Nasional Washington Reagan pada akhir Januari.