Malaysia Negara Tetamu, Sabah Raih Peluang Perluas Pasaran Pelancongan di Korea

Malaysia Negara Tetamu, Sabah Raih Peluang Perluas Pasaran Pelancongan di Korea

0
SHARE

ANDONG, KOREA: Pemilihan Malaysia sebagai Negara Tetamu pada Festival Tarian Topeng Antarabangsa Andong 2026 memberi Sabah peluang memperkenalkan budaya dan tarikan pelancongannya kepada khalayak Korea serta antarabangsa.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata penyertaan itu juga membuka ruang untuk memperkukuh hubungan pelancongan, kebudayaan dan antara masyarakat Sabah dengan Republik Korea.

“Penyertaan Sabah bersama Malaysia sebagai Negara Tetamu memberi kita platform penting untuk memperkenalkan budaya dan pelancongan negeri ini secara langsung kepada khalayak Korea dan antarabangsa.

“Dengan penyertaan 22 negara dan lebih 1.6 juta pengunjung dijangka hadir sepanjang festival, ini peluang berharga untuk meningkatkan keterlihatan Sabah serta memperkenalkan negeri ini sebagai destinasi kepada pasaran antarabangsa yang lebih luas,” katanya.

Ucapan beliau disampaikan bagi pihaknya oleh Timbalan Setiausaha Tetap II Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Dr Cleopatra @ Clare Asing, sempena Hari Negara Tetamu Malaysia pada festival itu, Sabtu lalu.

Festival yang berlangsung selama 11 hari itu menghimpunkan peserta dari 22 negara. Bersempena ulang tahun ke-30 penganjurannya, pihak penganjur memperluas jangkauan antarabangsa bagi menarik lebih ramai pengunjung luar negara.

Jafry berkata, budaya mempunyai keupayaan untuk menghubungkan masyarakat merentasi bahasa dan sempadan.

“Kehadiran kita di sini bukan sekadar untuk memperkenalkan Sabah, tetapi juga untuk membina hubungan yang berkekalan dan mewujudkan peluang kerjasama yang lebih erat antara Sabah dengan Andong,” katanya.

Sepanjang festival, Sabah mengetengahkan kepelbagaian warisan etnik menerusi persembahan kebudayaan, kraf tradisional dan pavilion negeri, di samping mempromosikan tarikan pelancongan alam semula jadi serta kebudayaan.

“Ini peluang untuk rakyat Korea dan pengunjung antarabangsa mengenali Sabah, budaya, tradisi, destinasi dan, yang paling utama, kemesraan rakyatnya.

“Kami berharap usaha ini menjadi asas yang bermakna untuk memperkukuh pertukaran kebudayaan dan pelancongan serta merapatkan hubungan antara masyarakat kita,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Bandaraya Andong dan Yayasan Kebudayaan dan Etika Korea kerana menyediakan platform antarabangsa kepada Malaysia dan Sabah, serta berharap hubungan dengan Andong dan pasaran pelancongan Korea dapat diperkukuh.

Majlis itu turut dihadiri Datuk Bandar Andong, Kwon Ki Chang; wakil Majlis Bandaraya Andong dan Yayasan Kebudayaan dan Etika Korea; serta tetamu antarabangsa.