ACX Music Dilancarkan, Reena Sasar Pentas Antarabangsa

ACX Music Dilancarkan, Reena Sasar Pentas Antarabangsa

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Penyanyi muda berbakat, Reena, 14, memasang impian untuk menembusi pasaran muzik antarabangsa selepas secara rasmi menyertai syarikat rakaman baharu, ACX Music, yang ditubuhkan menerusi kerjasama strategik ACO Media dan ACE Integrated.

Reena yang mula menyanyi sejak berusia tujuh tahun berkata, keputusan menyertai label berkenaan dibuat selepas melihat potensinya dalam membuka peluang lebih luas, khususnya menerusi penerbitan muzik, filem dan runut bunyi.

“Saya melihat ACX Music mempunyai banyak kelebihan, terutama dari segi filem, runut bunyi dan sebagainya. Saya percaya platform ini mampu memberikan pendedahan yang sangat luas untuk saya,” katanya.

Menurutnya, tawaran menyertai label itu diterima ketika berusia 13 tahun selepas memenangi pertandingan nyanyian di Nanjing, China.

Reena yang pernah menyertai lebih 100 pertandingan nyanyian turut giat memperkukuh penguasaan bahasa Mandarin bagi meluaskan peluang menembusi pasaran muzik China.

“Bahasa Melayu ialah bahasa ibunda saya, tetapi saya sedang memperbaiki penguasaan bahasa Mandarin supaya mempunyai peluang lebih luas untuk berkarya di China.

“Saya mahu menjadi penyanyi antarabangsa yang versatil, mampu menyanyikan pelbagai genre muzik dan menggunakan banyak bahasa,” katanya.

Reena yang mempunyai asas latihan vokal opera turut menjadikan Dimash Kudaibergen, Aina Abdul, Shila Amzah dan Beyoncé sebagai sumber inspirasi dalam mengembangkan bakatnya.

Sementara itu, ACX Music yang ditubuhkan hasil kerjasama ACO Media dan ACE Integrated turut memperkenalkan dua lagi penyanyi baharu, JunJun dan EuZen, sebagai barisan artis pertama label berkenaan.

Penubuhan ACX Music bertujuan mencungkil dan membimbing bakat muzik generasi baharu dengan memanfaatkan kepakaran kedua-dua syarikat dalam penerbitan konsert antarabangsa, pengurusan artis dan acara hiburan.

Majlis pelancarannya turut dimeriahkan persembahan ketiga-tiga penyanyi menerusi lagu GOLDEN, selain persembahan solo dan duet yang mendapat sambutan hadirin.

Beberapa tokoh industri muzik termasuk Chen Chien-ning daripada kumpulan F.I.R., Alex Sun, Liu Hao, LY dan Baiduri turut hadir memberikan sokongan kepada bakat baharu berkenaan.

ACX Music menyasarkan penghasilan karya muzik berkualiti dan pembangunan artis tempatan yang berdaya saing, sekali gus memperkukuh kedudukan industri muzik Malaysia di pasaran Asia serta antarabangsa.