KUALA LUMPUR: Selepas tiga tahun tanpa melancarkan karya baharu, penyanyi, komposer dan penerbit muzik, Chubb-E kembali dengan single terbaharu berjudul Tetap Di Sini yang mengetengahkan mesej bahawa cinta sejati tidak semestinya berakhir dengan memiliki seseorang.
Single ciptaan sepenuhnya oleh Chubb-E itu dilancarkan pada 23 Oktober lalu di bawah syarikat rakaman 1711 Music, dengan mengangkat kisah kesetiaan, pengorbanan dan keberanian melepaskan insan tersayang.
Menurut Chubb-E, lagu berkenaan diinspirasikan daripada pengalaman peribadi serta pemerhatiannya terhadap cara masyarakat moden memahami hubungan percintaan.
“Kalau kita benar-benar menyayangi seseorang, kita juga perlu menerima hakikat bahawa mungkin dia mempunyai impian atau jalan hidup yang berbeza. Kita tidak boleh memaksa seseorang untuk terus bersama hanya kerana terlalu mencintainya,” katanya.
Beliau menjelaskan, judul Tetap Di Sini merujuk kepada kenangan dan pengalaman yang kekal dalam ingatan meskipun sesuatu hubungan telah berakhir.
Dari segi muzik, Chubb-E menggabungkan elemen pop balada dengan pengaruh hip hop bagi menghasilkan karya yang menyentuh emosi, namun masih mengekalkan rentak rancak sebagai identiti muziknya.
Mengulas mengenai tempoh tiga tahun tanpa karya baharu, beliau berkata, masa tersebut dimanfaatkan untuk memperkukuh kemahiran komposisi, bereksperimentasi dengan pelbagai bunyi muzik serta menghasilkan puluhan lagu.
“Sepanjang tiga tahun itu, saya sebenarnya bukan berehat. Saya banyak belajar, bereksperimentasi dan menghasilkan karya baharu.
“Sekarang saya sudah mempunyai puluhan lagu yang siap dan akan diterbitkan secara berperingkat, termasuk projek duet serta album kolaborasi yang dirancang tahun hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, Chubb-E bersyukur apabila Tetap Di Sini menerima maklum balas positif pendengar dan berjaya menembusi beberapa senarai main Spotify, termasuk Made in Malaysia, Pop Terkini, New Music Friday Malaysia, New Music Friday Singapore serta Carta Malaysia 50.
Video muzik rasmi lagu berkenaan turut boleh ditonton menerusi saluran YouTube Seventeen Eleven Music.






