KOTA KINABALU: Institut Kajian Pembangunan (Sabah) (IDS) akan menganjurkan Perbincangan Meja Bulat bertajuk Memperkasa Wanita: Menuju Masa Hadapan yang Lebih Inklusif pada 18 Mac 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul, menekankan kepentingan peranan wanita dalam pembangunan negeri.
“Dengan menyediakan peluang dan ekosistem sokongan yang kondusif, kita dapat memastikan pembangunan lebih inklusif dan mampan,” katanya.
Sesi ini akan menghimpunkan wakil NGO, pakar ekonomi, serta pemimpin sektor awam dan swasta untuk membincangkan cabaran dan inisiatif pemerkasaan wanita, termasuk latihan kemahiran, keusahawanan, dan kepimpinan.
Menurut Dr. Ramzah, NGO memainkan peranan penting dalam meningkatkan taraf hidup wanita, khususnya di peringkat akar umbi.
“Kerjasama strategik antara semua pihak amat diperlukan bagi memastikan usaha pemerkasaan ini berterusan dan berimpak tinggi,” tambahnya.
IDS juga menegaskan kepentingan penyertaan wanita dalam proses pembuatan dasar dan polisi di Sabah, selain memastikan akses lebih luas kepada pembiayaan dan sokongan keusahawanan.