KOTA KINABALU: Lima individu dikenakan kompaun oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) selepas didapati mengganggu penyu laut di Pulau Manukan.
Tindakan itu diambil susulan video kejadian tersebut tular di media sosial lalu mencetuskan kemarahan orang ramai.
Menteri KePKAS, Datuk Seri Christina Liew mengesahkan bahawa notis kompaun dikeluarkan kepada individu terbabit serta syarikat yang bertanggungjawab, di bawah Enakmen Taman 1984 (Pindaan 2024).
“Tindakan mereka amat tidak bertanggungjawab dan bertentangan dengan prinsip pemuliharaan marin Sabah.
“Kami menggesa semua pengusaha pelancongan untuk memainkan peranan lebih bertanggungjawab dalam memastikan pematuhan garis panduan serta peraturan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri komited dalam usaha pemuliharaan alam sekitar dan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang pelanggaran undang-undang perlindungan hidupan liar.
Pulau Manukan terletak dalam kawasan Taman Tunku Abdul Rahman dan berada di bawah bidang kuasa Sabah Parks. Penyu laut pula dikategorikan sebagai spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah.
Menurut undang-undang, sesiapa yang didapati bersalah mengganggu penyu boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 dan hukuman penjara antara satu hingga lima tahun.