Dua Ditahan, Seleweng Minyak Diesel Bersubsidi, Nilai Rampasan Lebih RM100,000

Dua Ditahan, Seleweng Minyak Diesel Bersubsidi, Nilai Rampasan Lebih RM100,000

0
SHARE

TAWAU: Dua lelaki tempatan ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam satu operasi Op Tiris yang dijalankan di Bandar Sri Indah, di sini baru-baru ini, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM100,000.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis (ACP) Jasmin Hussin berkata, kedua-dua suspek berusia antara 38 hingga 53 tahun ditahan hasil serbuan yang dijalankan oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Bandar Sri Indah dengan bantuan Pasukan Task Force Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Menurut beliau, operasi tersebut dilaksanakan hasil maklumat risikan berhubung kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi di kawasan berkenaan.

“Serbuan telah dijalankan oleh sepasukan polis daripada Balai Polis Bandar Sri Indah dengan bantuan Pasukan Task Force KDNKA IPD Tawau hasil maklumat risikan berkaitan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi.

Hasil pemeriksaan ke atas lokasi serbuan membawa kepada penahanan dua lelaki warga tempatan berusia di antara 38 hingga 53 tahun kerana disyaki membawa serta memiliki minyak diesel bersubsidi tanpa permit dan gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

ACP Jasmin berkata, turut dirampas dalam operasi itu ialah sebuah lori Nissan Condor, sebuah lori bonded Mitsubishi Fuso, tiga tong mengandungi kira-kira 600 liter minyak diesel bersubsidi, sebuah hos paip getah, sebuah pam sedut minyak, sebuah meter digital minyak serta beberapa anak kunci kenderaan dan mangga kotak lori.

Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM101,670,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek bersama semua barang rampasan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki menyeleweng minyak diesel bersubsidi tanpa lesen atau permit yang sah.

ACP Jasmin menegaskan polis akan terus mempergiatkan operasi membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan dan subsidi kerajaan bagi memastikan ketirisan dapat dibendung serta tindakan tegas diambil terhadap pihak yang melanggar undang-undang.