Peranan Aktif JPKK Harus Dipertingkatkan Bagi Menyampaikan Suara Rakyat

Peranan Aktif JPKK Harus Dipertingkatkan Bagi Menyampaikan Suara Rakyat

0
SHARE

KINABATANGAN, SABAH – Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, peranan aktif Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) seharusnya dipertingkatkan dari masa ke semasa bagi memastikan segala permasalahan yang timbul sampai ke pihak atasan.

 

Katanya, mereka yang dilantik oleh Kerajaan ini adalah individu-individu yang diyakini mampu menyampaikan suara rakyat yang memerlukan.

“Saya menyeru kepada mereka agar memainkan peranan yang sewajarnya…

“Selaku pengerusi, mereka dilantik oleh Kerajaan untuk memastikan apa jua permasalahan dapat dibawa ke pihak berwajib dan mereka ini juga mata dan telinga kepada Kerajaan.

“Saya berharap mereka dapat menjalankan tugas dengan baik kerana kita tidak mahu nanti ada pihak lain yang mengambil peranan mereka sedangkan mereka sepatutnya lebih tahu tentang kampung mereka sendiri,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan and Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan pengerusi-pengerusi JPKK bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag di Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Lamag di Bukit Garam, dekat sini, baru baru ini.

Hadir sama Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Lamag, Abu Bakar Gapar dan Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Kinabatangan, Amri Andimas.

Dalam pada itu, Bung juga berharap agar mereka yang terpilih ini turun padang untuk melihat sendiri keadaan masyarakat di kawasan masing-masing.

“Usaha ini perlu menjadi inisiatif mereka atas dasar dan kapasiti sebagai pengerusi di mana mereka seharusnya mengambil tahu, jangan hanya menunggu orang datang ke rumah (tetapi) perlu turun padang dan kalau boleh kena tahu populasi di kampung mereka seperti berapa ramai orang anak muda, berapa penduduk berumur 80 tahun ke atas, berapa ramai ibu tunggal dan pesakit terlantar yang harus dibela dan dijaga dengan baik.

“Ini kerana kita sebagai Kerajaan tidak semestinya tahu semua perkara. Sebab itu kita lantik pengerusi ni sebagai wakil kepada pihak Kerajaan jadi penduduk kampung boleh melaporkan kepada mereka,” katanya.

Bung berkata, permasalahan yang dihadapi oleh rakyat akan dapat diselesaikan dengan mudah apabila badan itu bertindak mengikut kaedah yang betul.

Jelasnya, masyarakat juga perlu mengetahui dan memahami saluran aduan yang betul agar dapat menemui jalan penyelesaian terbaik dalam masa yang singkat bukannya memilih jalan singkat dengan meviralkan isu atau masalah kampung melalui media sosial.

“Kita ada cara dan kaedah kita bekerja. JPKK yang ada masalah mesti berhubung dengan wakil rakyat masing-masing supaya mereka boleh buat tindakan susulan terhadap masalah rakyat sehingga peringkat seterusnya,” tambah Bung.