Sabah Masih Kurang Penglibatan Tenaga Kerja Maritim

Sabah Masih Kurang Penglibatan Tenaga Kerja Maritim

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah masih ketinggalan dalam penyertaan tenaga kerja maritim berbanding negeri lain walaupun memiliki kelebihan garis pantai yang luas serta potensi besar dalam ekonomi biru.

Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata jumlah pelaut dari Sabah masih rendah sedangkan sektor maritim penting untuk hala tuju ekonomi jangka panjang negeri.

“Sabah mempunyai potensi besar dalam ekonomi biru, namun penglibatan belia dalam kerjaya maritim masih belum mencapai tahap diperlukan,” katanya pada Program Aspirasi Kerjaya Pelaut sempena sambutan Hari Pelaut di sini pada Khamis.

Program anjuran Persatuan Pelaut Sabah dengan sokongan MINDET itu bertujuan meningkatkan kesedaran pelajar terhadap peluang kerjaya dalam industri maritim selaras dengan agenda Sabah Maju Jaya.

Dalam pada itu, Ewon turut mengakui isu kesesakan di Pelabuhan Kontena Sapangar Bay sebagai “masalah baik” yang mencerminkan pertumbuhan ekonomi Sabah, namun perlu ditangani segera.

Beliau berkata satu pasukan petugas khas telah ditubuhkan bersama pemain industri bagi menangani isu tersebut, termasuk pelaksanaan sistem “berthing window” yang telah membantu mengurangkan kesesakan.

Katanya, kerja naik taraf pelabuhan juga menunjukkan kemajuan ketara daripada sekitar 26–27 peratus kepada 61 peratus ketika ini.

Operasi Roll-on Roll-off (Ro-Ro) turut dipindahkan ke KKIP bagi memberi ruang tambahan di pelabuhan kontena.

Ewon berkata beliau akan membawa cadangan peluasan pelabuhan ke Kabinet bulan depan bagi menampung peningkatan aktiviti perdagangan dan keperluan industri yang semakin berkembang di Sabah.