Cacian, Fitnah dan Politik Murahan, PKR Sabah Dedah Taktik Terdesak Warisan

Cacian, Fitnah dan Politik Murahan, PKR Sabah Dedah Taktik Terdesak Warisan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah mengecam Parti Warisan dan Presidennya, Datuk Seri Shafie Apdal susulan siri serangan terhadap Kerajaan Perpaduan serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua PKR Tuaran, Razeef Rakimin berkata hampir setiap ceramah Shafie kebelakangan ini menjurus kepada usaha memburukkan kerajaan negeri dan persekutuan.

Menurutnya, tindakan itu bukan sahaja berbentuk fitnah dan cacian, malah dilihat sebagai usaha terdesak meraih semula sokongan politik selepas kontroversi kenyataan Shafie yang melabel suku Murut sebagai “kafir”.

“Ini bukan perkara baru, sebelum ini beliau pernah mengeluarkan kenyataan menghina masyarakat Cina dengan panggilan tidak wajar, selain mempersenda petugas Rela,” katanya.

Razeef turut mengingatkan kenyataan Shafie yang menyindir anggota Rela dengan berkata mereka “hanya tahu kawal trafik di majlis perkahwinan dan tidak tahu memegang senjata,” serta cubaan menimbulkan persepsi buruk terhadap Yang Di-Pertua Negeri Sabah.

“Kerajaan Perpaduan tidak perlukan pemimpin yang bersikap seumpama itu. Justeru, daripada berterusan menyerang kerajaan perpaduan, namun masih duduk di bawah payung yang sama, saya cabar Shafie bawa Warisan keluar dari kerajaan persekutuan.

“Bermula dengan meminta adiknya, Datuk Mohammad Yusof Apdal meletakkan jawatan timbalan menteri di persekutuan, kemudian kita akan lihat sama ada Shafie seorang pemberani atau sekadar ‘menyalak bukit’,” tegasnya.

Sementara itu, Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud turut mengecam Warisan kerana mengejek Perdana Menteri dalam program politik ketika rakyat masih berduka akibat banjir dan tanah runtuh yang meragut 13 nyawa.

“Apa yang mengecewakan kami ialah program politik diadakan ketika rakyat menderita. Di Kota Belud mereka secara terbuka mengejek Perdana Menteri dan isterinya,” katanya di pejabatnya di Sepanggar.

Beliau berkata politik tidak wajar dibawa sehingga hilang rasa hormat, sambil mengingatkan rekod buruk Warisan termasuk saman RM315 juta akibat pembatalan kontrak konsesi air serta kelewatan Pan Borneo selepas model Project Delivery Partner dibatalkan.

“Bandingkan sumbangan Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Sabah dengan yang lain ketika mereka berada di kementerian persekutuan. Tolong tunjukkan sedikit hormat. Ini adab bagi kita di Sabah,” katanya.