Sports Industry Coalition (SIC) Mohon Bantuan Kerajaan

Sports Industry Coalition (SIC) Mohon Bantuan Kerajaan

0
SHARE

KUALA LUMPUR – ‘Sports Industry Coalition’ (SIC) satu gabungan mewakili sebahagian besar pemain dalam industri sukan, memohon bantuan kerajaan disebabkan kebanyakan mereka terjejas akibat pandemik COVID-19 yang berterusan dan sekatan yang dikenakan sejak Mac tahun lepas.

Ditubuhkan pada 19 Mac, gabungan itu disertai 75 pemain industri yang terdiri daripada penganjur acara, penyedia perkhidmatan, pembuat dan pembekal barangan berkaitan, menyatakan yang mereka telah menghantarkan surat berkaitan isu tersebut kepada Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican…

SIC yang dipetik BERNAMA merayu kepada kerajaan untuk memasukkan ahli-ahli SIC dalam inisiatif bantuan sekali beri RM3,000 dan subsidi upah RM600 kepada pengusaha industri sukan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang telah diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin.

Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pada Isnin (28 Jun)…

Selain daripada itu, SIC juga memohon pengecualian bayaran balik bulanan cukai (CP204) sehingga Disember dan menimbangkan pembukaan acara yang disertai ramai pada skala lebih kecil bermula Ogos.

“Ahli SIC akan menggunakan peluang ini untuk mengadakan acara ujian dan mengambil data mengenai keberkesanan SOP (prosedur operasi standard) ketika acara berjalan. Acara ini akan diadakan di ruang terbuka dan penjarakan fizikal akan dipastikan,” menurut kenyataan dikeluarkan SIC.

SIC menyatakan yang industri sukan kini berada di ambang kejatuhan disebabkan penutupan berpanjangan tanpa pendapatan ataupun bantuan daripada kerajaan untuk tempoh 16 bulan lepas, di mana perbelanjaan seperti pembayaran balik pinjaman, sewa dan gaji, merupakan komitmen bulanan yang berterusan, dan kegagalan untuk membayar semula telah menyebabkan ada dalam kalangan ahli yang telah disaman pihak bank dan pemiutang.

Majoriti ahli SIC kini sedang begelut untuk membuat pembayaran kerana telah tidak mempunyai pendapatan sejak Mac 2020.

“Dengan penangguhan pembukaan semula dan tanpa bantuan kewangan daripada kerajaan, industri juga kini tidak mempunyai aliran tunai atau keupayaan untuk meneruskanya,” menurut kenyataan itu.