Penjawat Awam Ditahan SPRM Sabah Disyaki Terima Rasuah Projek Rumah SMJ

Penjawat Awam Ditahan SPRM Sabah Disyaki Terima Rasuah Projek Rumah SMJ

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang penjawat awam sebuah jabatan kerajaan negeri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM3,000 sebagai balasan memberikan Projek Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada sebuah syarikat kontraktor.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 12.40 tengah hari kelmarin ketika hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah.

“Siasatan awal mempercayai suspek melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2024 dengan menerima rasuah kira-kira RM3,000.

“Suspek disyaki telah menerima wang rasuah secara berperingkat iaitu melalui dua transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke akaun peribadinya dan juga akaun milik anaknya,” menurut sumber berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan suspek akan dilepaskan selepas keterangan diambil bagi membantu siasatan lanjut.

SPRM Sabah menegaskan komitmennya untuk terus membanteras sebarang bentuk rasuah termasuk yang melibatkan projek pembangunan rakyat di negeri ini.